Dr Zaliha tolak podcast, Annuar Musa akan ke Parlimen buktikan fakta pengambilan tanah Kg Sg Baru

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa akan ke Parlimen esok, Selasa 14 Oktober atas pelawaan beberapa ahli Parlimen untuk mengemukakan fakta berkait pengambilan Kampung Sungai Baru.

Hal ini katanya, susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tidak menjawab surat jemputan beliau untuk mengadakan audio siar bagi mengupas kes berkenaan.

Annuar sebelum ini dilapor memberi notis kepada Dr Zaliha berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu bahawa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah dilakukan secara tergesa-gesa membabitkan tempoh tiga hari pada 2021.

“Pada 9 Oktober, saya dengan hormat menulis surat kepada Datuk Seri Dr Zaliha dan memberi pilihan kepadanya bagi membolehkan saya membuktikan secara bersemuka pemesongan fakta ketika sessi penerangan beliau di Dewan Rakyat.

“Beliau tidak membalas surat saya dalam tempoh 3 hari yang saya berikan. Sebaliknya beliau membuat posting di Facebook 2 jam yang lalu dengan menafikan dakwaan saya yang menuduhnya berbohong kepada Parlimen serta memesongkan fakta ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.

“Saya berbuat demikian kerana menghormati kedudukan seorang Menteri dan saya berhasrat mengemukakan bukti terus kepadanya dan bukan di media sosial,” tegas AJK Pas Pusat itu.

Annuar bagaimanapun, menerima jemputan beberapa ahli Parlimen untuk beliau hadir ke bangunan Parlimen dan memberi pencerahan saya mengenai isu yang sama kepada ahli Parlimen.

“Oleh kerana YB Menteri tidak menerima pelawaan saya,saya seterusnya memilih untuk menerima pelawaan ahli Parlimen dan menyampaikan kepada mereka pemesongan fakta yang telah di lakukan oleh menteri.

“Selepas itu,jika perlu dan sesuai barulah saya berkongsi maklumat dan fakta berkaitan dengan khalayak dan media.

“Insya-Allah, esok selasa 14 Oktober saya akan hadir di bangunan Parlimen untuk bertemu beberapa ahli Parlimen kita dan saya akan sampaikan bukti fakta yang telah terpesong dalam penerangan Menteri.

“Saya bersetuju dengan Dr Zaliha bahawa “integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas”. Saya harap YB Menteri akan mempertahankan prinsip ini selepas saya kemukakan bukti esok..Insya-Allah,” ujar Annuar yang bekas Menteri Wilayah Persekutuan.

Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan Annuar yang menuduhnya berbohong kepada Parlimen serta memesongkan fakta ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.

Ahli Parlimen Sekijang itu menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah yang serius dan berpotensi mencalar reputasinya sebagai seorang menteri, selain merendahkan integriti institusi Parlimen itu sendiri.

“Saya terpanggil menjawab tuduhan dibuat Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kononnya saya telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2025.

“Tidak ada keperluan untuk saya mengulangi perkara yang telah saya bentangkan, kerana segala fakta yang dikemukakan di Dewan Rakyat adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan,” katanya melalui hantaran di Facebook, pada Isnin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat