PM Umum Pengunaan Lebuhraya DASH Percuma Sebulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dibuka secara rasmi hari ini dan Perdana Menteri mengumumkan penggunaan tanpa bayaran tol selama sebulan bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DASH dijangka dapat menjimatkan tempoh perjalanan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

“Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sejumlah 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.

“Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lepas, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak,” katanya pada majlis perasmian di Plaza Tol Denai Alam pada Khamis.

Jelas Perdana Menteri, Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan.

“Pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Lebuhraya DASH juga memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.

“Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.

Justeru katanya, kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara, sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta (Public Private Partnership atau – PPP) antara pihak PROLINTAS dan kerajaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat