32 Penyanyi, Pemuzik Fail Saman Terhadap Prism Berhad

- Advertisement -

SHAH ALAM – Seramai 32 penggiat seni, terdiri daripada penyanyi dan pemuzik memfailkan notis usul berserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada Prism Berhad.

Notis usul dan afidavit ini difailkan melalui firma Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah pada 9 September lalu dan ia merupakan tindakan mahkamah yang julung kali dibuat penggiat seni tanah air.

Antara 32 penggiat seni tanah air yang memfailkan notis usul dan afidavit ini adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Datuk J Sham, S. Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina, Ezlynn, Julian Blues Gang, Renggo Arrow, Ali Terra Rossa, Ajin Blackrose, Norshila Amin, Nai Dinamik, Beego, Razis Ismail dan Leina Hangat.

Wakil Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofian, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif, berkata menurut perlembagaan Prism Berhad, bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan satu kali setahun.

“Namun, semenjak 2017 sehingga 2021, tiada sebarang pengagihan dibuat kepada artis-artis ini walaupun telah dituntut.

“Tindakan ini adalah untuk mendapatkan pengisytiharan terhadap wang royalti yang dikutip. Wang kutipan yang tidak diagihkan dengan betul dan siapa tidak jalankan pengagihan dengan betul boleh disabitkan kesalahan.

“Ini baru langkah pertama. Kita mahu mengesan ke mana perginya wang itu dan mengapa tidak diagihkan. Kalau duit itu habis, ia pergi mana dan sekiranya dibelanjakan, siapa yang mengawal selia dan adakah perbelanjaan itu sah dari segi undang-undang.

“Kami juga ingin tahu bagaimana pengiraan royalti dibuat dan sistem apa yang digunakan,” katanya pada sidang media di Crystal Chambers, di sini, petang ini.

Kamaruzzaman menambah, pihaknya juga menolak sekiranya defendan ingin menyelesaikannya di luar mahkamah.

“Kami gunakan jalan perundangan untuk mendapatkan pencerahan dan jawapan kerana plaintif mahu menuntut hak mereka dikembalikan.

“Agensi yang diamanahkan telah dilihat gagal untuk mengagihkan royalti dalam tempoh lima tahun tersebut. Jalan penyelesaian terbaik adalah di mahkamah.

“Ini bukan sahaja perjuangan 32 ahli yang bersetuju memfailkan notis usul dan afidavit, tetapi turut memberi manfaat kepada 1,632 ahli Prism lain serta golongan pelapis,” katanya.

Konflik royalti tercetus selepas berlaku pertikaian perundangan di antara Public Performance Sdn Bhd (PPM), Recording Industry Malaysia (RIM) dan Prism Berhad.

Akibatnya Prism Berhad digulungkan melalui perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 dan segala urusan pentadbiran dikawal selia Jabatan Insovensi Malaysia (MDI).

Konflik di antara tiga badan pelesenan itu menjejaskan pengagihan kutipan royalti dalam kalangan ahli Prism Berhad. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat