KUALA LUMPUR- Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan anak dan isterinya diserang dua lelaki ketika memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya.
“Sekitar jam 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi memaklumkan, anak lelaki tunggalnya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan.
“Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian.
“Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM,” jelas bekas Menteri Ekonomi itu dalam kenyataan pada petang Rabu.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.
Ujar Rafizi lagi, sepanjang beliau menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.
“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” tegas beliau.



