KPT Perkukuh Usaha Jadikan Malaysia Destinasi Pilihan Pelajar Antarabangsa

KUALA LUMPUR, — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelajar antarabangsa menerusi pelbagai usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang diselaraskan dengan keperluan semasa.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, baru-baru ini mengetuai lawatan kerja selama dua hari ke Indonesia bermula 11 Julai lalu bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi. Indonesia merupakan antara penyumbang terbesar pelajar antarabangsa di Malaysia dengan seramai 11,293 pelajar setakat Mac 2025.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau menghadiri beberapa program, mesyuarat serta kunjungan hormat bersama rakan sejawatnya di Indonesia, yang membuka lebih banyak peluang kerjasama termasuk dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa.

Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kerjasama telah dimeterai antara institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia dan Indonesia yang merangkumi program mobiliti pelajar dan pensyarah.

Penawaran biasiswa Malaysia International Scholarship turut diteruskan bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa. Setakat ini, seramai 21 pelajar Indonesia telah menerima manfaat biasiswa tersebut.

Dalam masa sama, Education Malaysia Global Services (EMGS) giat mempromosi IPT tempatan ke peringkat antarabangsa, termasuk melalui program MEGA AYO KULIAH DI MALAYSIA 2025 yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini dengan penyertaan 21 IPT Malaysia.

Dalam ucapannya, Datuk Dr. Anesee turut memaklumkan pelbagai inisiatif seperti Graduate Pass visa setahun selepas tamat pengajian dan ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang kini menghimpunkan lebih 300 penyedia biasiswa dengan komitmen lebih RM19 juta untuk manfaat pelajar ASEAN.

KPT optimis usaha berterusan ini mampu meningkatkan imej Malaysia sebagai pusat pendidikan bertaraf antarabangsa dan memperkukuh daya saing negara di peringkat global selari dengan teras Malaysia MADANI.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat