Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor telah mengadakan Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024 untuk meraikan pencapaian cemerlang para usahawan Platform Selangor (U-PLATS).
Majlis bersejarah ini diadakan buat pertama kalinya dan mendapat kehormatan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor; YB Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor; YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi; YBrs. Ts. Saipolyazan M Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor dan YAB Dato’ Setia Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Seramai 12 usahawan terpilih, yang mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), telah diiktiraf atas pencapaian luar biasa mereka dalam Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBrs. Ts. Saipolyazan M Yusop, MAPS 2024 bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada peserta PLATS lain agar terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan, khususnya bagi usahawan mikro di Selangor.
“MBI Selangor komited dalam membangunkan dan memupuk bakat keusahawanan di kalangan rakyat Selangor,” ujar beliau.
Sehingga 31 Jun 2024, seramai 37,018 peniaga telah berdaftar dengan PLATS, satu pencapaian membanggakan hasil daripada program dan kempen yang dianjurkan dengan kerjasama 12 PBT dan Selangor Youth Community (SAY). Antara inisiatif PLATS yang berjaya termasuk PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar Ramadan, dan Program U-PLATS Digital.
YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari berkenan menyampaikan enam anugerah khas kepada penerima terpilih, iaitu:
- Anugerah Usahawan Mikro Komuniti
- Anugerah Usahawan Mikro Inovasi
- Anugerah Usahawan Mikro Digital
- Anugerah Usahawan Mikro Muda
- Anugerah Usahawan Mikro Wanita
- Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor (anugerah utama MAPS 2024)
MBI Selangor yakin bahawa PLATS adalah usaha progresif dan pemangkin ekonomi digital di Selangor, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Platform Selangor (PLATS) merupakan platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan untuk membantu peniaga mikro, penjaja dan peruncit kecil di Selangor mendigitalkan perniagaan mereka dan mengatasi cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.
PLATS menawarkan pelbagai faedah kepada para pesertanya, termasuk pemasaran dan promosi perniagaan secara online, akses kepada latihan dan bimbingan keusahawanan, sokongan kewangan dan geran, serta peluang untuk menyertai pasaran dan bazar digital. Usahawan yang berminat untuk menyertai PLATS boleh mendaftar secara percuma di https://platselangor.com/.