MBI Selangor perkasa ekonomi digital peniaga mikro Selangor melalui platform Selangor (PLATS)

- Advertisement -

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), atau lebih dikenali sebagai MBI Selangor, terus memainkan peranan penting dalam mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor. Sebagai entiti korporat, MBI Selangor bertindak sebagai wakil kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang mungkin di luar bidang kuasa pihak kerajaan negeri.

Dalam usaha mempromosi dan mendokong pembangunan Kerajaan Negeri Selangor, MBI Selangor juga bertanggungjawab melunaskan kewajiban tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Salah satu inisiatif penting yang dijalankan adalah Platform Selangor (PLATS).

PLATS berfungsi sebagai platform promosi dan direktori digital yang direka untuk membantu peniaga mikro, seperti penjaja dan peruncit kecil, mendigitalkan perniagaan mereka, terutama dalam mengatasi cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Ketua Yayasan MBI Selangor, Encik Azri, menjelaskan bahawa walaupun pinjaman modal permulaan yang diberikan adalah sebanyak RM3000, ia mampu membantu peniaga mikro berinovasi dan meningkatkan daya saing mereka.

“Kami percaya dengan modal permulaan ini, mereka mampu membuat inovasi terhadap diri sendiri sekaligus menganjak jati diri untuk terus berusaha dan berdaya saing agar terus maju,” katanya.

PLATS juga meneruskan beberapa inisiatif lain, termasuk pembentukan Rakan Digital Selangor pada tahun 2021, yang membantu peniaga mikro dalam aktiviti promosi melalui saluran media digital dan sosial.

Sehingga kini, lebih daripada 20,000 peniaga mikro di seluruh Selangor telah mendapat manfaat daripada PLATS, dengan lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan diwujudkan untuk kumpulan B40 melalui inisiatif PLATS Rakan Digital Selangor (RDS).

Program ini juga telah mendaftarkan seramai 37,018 peniaga setakat 31 Jun 2024, hasil daripada pelbagai program dan kempen yang dianjurkan dengan kerjasama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY), termasuk PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan, dan Program U-PLATS Digital.

MAPS 2024 yang dianjurkan di Sunway Hotel & Resorts, Subang Jaya pada 12 Julai lalu, merupakan satu lagi inisiatif untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS. Seramai 12 peserta terbaik dari Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 PBT diiktiraf dalam majlis tersebut.

“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan, terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” jelas Encik Azri.

MBI Selangor yakin bahawa inisiatif seperti PLATS merupakan usaha progresif dan pemangkin kepada ekonomi digital di Selangor, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat