Kebergantungan produk makanan import kini RM62 bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kebergantungan negara kepada import barangan makanan kini mencecah nilai RM62 bilion berbanding RM48 bilion sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain tukaran ringgit, peningkatan itu juga didorong permintaan tinggi pengguna bagi barangan makanan import.

“Tapi kita masih perlu import, kalau tidak kita akan hadapi masalah, contohnya seperti bawang, bijirin jagung dan soya, itu perkara yang belum kita dapat hasilkan di sini secara komersial.

“Untuk kurangkan nilai import itu, kita perlu hasilkan produk agro tempatan sendiri. Saya jangkakan keperluan untuk import itu dapat dikurangkan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi,” katanya di Putrajaya pada Khamis lapor BH.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini.

Turut menyaksikan MoU, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

MoU itu merangkumi kerjasama dalam melaksana aktiviti pemindahan teknologi, pengetahuan dan khidmat nasihat teknikal yang dihasilkan daripada penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI kepada ejen pengembangan dan usahawan wilayah Johor Tenggara.

KEJORA juga bercadang untuk membangunkan sebuah ladang tanaman kelapa secara komersial berserta kilang pemprosesan santan.

Purata pengeluaran hasil buah kelapa itu dijangka kira-kira 600 metrik tan setahun dengan jumlah pendapatan kasar lebih kurang RM483,000 setahun.

Projek itu dijangka akan memberikan impak secara langsung kepada 110 orang penduduk Wilayah KEJORA

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, usaha secara menyeluruh semua pihak perlu bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meningkatkan penghasilan makanan

“Usaha perlu dilakukan secara holistik, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mesti buka minda, tidak bertindak solo sebaliknya bergerak sebagai entiti yang besar.

“Agensi pembangunan wilayah di bawah KKDW mempunyai kawasan tanah yang boleh digunakan bukan sahaja untuk penghasilan komoditi tetapi juga mesti memaju bidang pertanian untuk membantu negara dan rakyat supaya tidak perlu lagi bergantung kepada import bahan makanan.

“Jika dapat selamatkan wang dengan penghasilan makanan tempatan, ia bukan hanya mengurangkan tukaran wang asing antara kita dan negara terbabit (pengeksport), malah ia juga dapat membantu ekonomi tempatan.

“Kerana itu kita mesti proaktif bukan sahaja dari segi penghasilan agromakanan tapi juga industri haiwan ternakan dan akuakultur,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat