Badan Penyelia Bursa Saham Singapura Siasat Syarikat Berkaitan Anak Mahathir

- Advertisement -

SBI Offshore, yang mana pengerusi eksekutifnya ialah Mirzan Mahathir iaitu anak kepada Dr Mahathir Mohamad, kini disiasat badan penyelia Bursa Saham Singapura SGX RegCo atas dakwaan kemungkinan pelanggaran peraturan penyenaraian dan tugas fidusiari pengarah.

Ia selepas keluarnya audit khas terhadap syarikat itu yang dibuat RSM Corporate Advisory.

Menurut laporan The Edge Singapura, SGX RegCo telah memantau SBI Offshore selama beberapa tahun.

Badan itu telah mengarahkan audit khas pada Disember 2018 bagi menyiasat penjualan sebuah kilang di China oleh syarikat itu pada harga RMB18 juta (RM10.8 juta), di saat nilai buku kilang itu antara RMB38 juta hingga RMB40 juta.

RSM mengeluarkan audit khas itu pada 12 Jun dan menyimpulkan SBI Offshore tidak melalui proses “wajar dan memadai” bagi penjualan itu.

Harga RMB18 juta itu adalah tawaran terbaik yang diterima pada tempoh itu, kata audit tersebut.

Bagaimanapun audit mendedahkan beberapa isu lain berkaitan kilang itu.

Ketika SBI Offshore membelinya, perjanjian pemerolehan tidak memiliki maklumat mencukupi berkenaan aset yang diperolehi dalam urus niaga itu, kata SGX RegCo.

Katanya lagi, proses penilaian juga tidak dibuat sebelum perjanjian dimeterai bagi menilai dan menyokong pertimbangan pembelian bernilai RMB32 juta.

Sebelum SBI Offshore menyertai perjanjian pemerolehan untuk membeli kilang itu, syarikat tersebut telah menanggung pembinaan dan penambahbaikan kilang berjumlah RMB8.19 juta walaupun SBI Offshore berhasrat membeli sebuah kilang yang lengkap, menurut The Edge.

“Selain RMB32 juta bagi membeli kilang, SBI Offshore juga membelanjakan kira-kira RMB15 juta bagi perbelanjaan modal sehingga 2013 untuk kilang itu.

“Kilang itu akhirnya kurang digunakan dan menanggung kerugian lebih RMB47 juta bagi tempoh sehingga 31 Disember 2017,” kata SGX RegCo.

Berikutan dapatan audit khas itu, SGX RegCo akan memulakan siasatan terperinci terhadap SBI Offshore.

Sementara itu, dalam satu pengumuman yang ditandatangani Mirzan, SBI Offshore berkata ia sedar akan kemungkinan pelanggaran undang-undang dan/atau peraturan penyenaraian.

Ia berkata syarikat “akan menilai dapatan dan menentukan langkah selanjutnya yang wajar demi kepentingan kumpulan dan pemegang saham.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat