KUALA LUMPUR -Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf sekali gus menarik balik perkataan ‘bapa ceti dan kaki zina’ yang sebelum ini dikaitkan dengan sahabat nabi.
Menurut setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu beliau tidak berniat untuk menghina para sahabat namun kesilapan beliau ialah salah guna perkataan.
“Saya sama sekali tidak berniat menghina para sahabat cuma kesilapan di pihak saya apabila saya menggunakan satu perkataan yang agak besarlah -bapa ceti, kaki zina.
“Jadi saya tarik balik perkataan ini, penggunaan ini saya tarik balik.
“…dan saya meminta maaf kepada sesiapa yang terasa hati dan saya ucap terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberi teguran yang membina.
“Kepada yang menegur cara melulu itu, lain kali jangan melulu tegur kerana benda yang berlaku di zaman jahiliyah ini sememangnya tidak ada riwayat dan kalau ada riwayat pun dia mesti daif, mesti daif itu zaman jahiliyah cuma kesilapan bila saya sandarkan kepada Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan para sahabat,” ujarnya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Rabu.



