KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan buruan Malaysia Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang menjadi individu utama dalam skandal berbilion dolar melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak wajar diberi pengampunan.
Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, demikian selepas laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Jho Low sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pasukan petugas 1MDB yang diterajui Johari ditubuhkan bagi mendapatkan semula dana serta aset berkaitan 1MDB di seluruh dunia.
Beliau berkata, permohonan pengampunan Jho Low itu wajar ditolak, sebaliknya Amerika Syarikat perlu membantu Malaysia mengesan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Setakat saya, saya menentang pengampunan itu,” kata Johari yang juga Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam mesej teks ketika diminta mengulas laporan WSJ tersebut, lapor BH pada Rabu.
Johari turut berkata, beliau tidak mengetahui sebarang rundingan antara Jho Low dan kerajaan Malaysia berhubung pemulangan aset.
Jho Low berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan Malaysia, berkaitan peranannya yang didakwa dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Menurut laporan WSJ hari ini, Jho Low baru-baru ini mengemukakan permohonan pengampunan yang, jika diluluskan, akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.
Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai “Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman” (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.
Laporan itu memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Jho Low, yang telah didakwa di Amerika Syarikat, menafikan sebarang salah laku namun masih gagal dikesan.
Dana itu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009, tidak lama selepas beliau memegang jawatan perdana menteri.
Lebih AS$4.5 bilion didakwa telah diseleweng daripada 1MDB antara 2009 hingga 2015 oleh pegawai dana dan sekutu mereka, termasuk Jho Low.
Najib, yang telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan dalam beberapa kes, dipenjarakan serta didenda AS$2.8 bilion kerana peranannya dalam penyelewengan tersebut.
Peguam pembelaan Najib menyalahkan Low dan melabelkannya sebagai dalang utama skandal kewangan berkenaan.
Malaysia sebelum ini gagal mendapatkan Jho Low melalui proses ekstradisi, manakala media turut membuat spekulasi bahawa beliau bersembunyi di China.
Skandal itu menggoncang politik Malaysia dan menyumbang kepada kejatuhan gabungan pemerintah pada 2018, selain membawa kepada sabitan dua bekas pegawai bank Goldman Sachs. – REUTERS



