KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengelakkan tuduhan mengamalkan dwi standard dengan menyasarkan industri perbankan yang terus menikmati keuntungan lumayan supaya menyediakan pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran berjumlah RM5 bilion sebanyak RM50,000 kepada 100,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), serta moratorium kadar faedah selama setahun bagi pinjaman sedia ada PMKS.
Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata demikian susulan pengumuman Anwar bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengecualikan golongan pendapatan T20 daripada skim subsidi minyak Budi Madani RON95 (Budi95).
Kata Guan Eng, cadangan Anwar ini berisiko dilihat sebagai pendekatan yang cetek dan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan beliau dengan menukar satu reformasi fiskal yang perlu kepada dasar yang kelihatan menghukum dan bukannya adil.
“Ia juga terlalu mempermudahkan kesukaran yang dihadapi ramai isi rumah bandar, di mana golongan T20 sebenarnya hanya sekadar mampu bertahan.
“Bukan semua golongan T20 dengan pendapatan isi rumah melebihi RM11,820 sebulan hidup selesa.
“Ramai yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, komitmen perumahan, kos penjagaan anak serta tanggungan kewangan yang semakin meningkat di pusat bandar.
“Atas sebab itu, skim subsidi minyak Budi95 mesti dikekalkan dan disediakan kepada semua rakyat Malaysia,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Guan Eng lagi, dalam krisis ekonomi global semasa, Anwar tidak sepatutnya memecah-belahkan rakyat Malaysia kepada “kami” dan “mereka”, iaitu kononnya golongan berpendapatan tinggi T20 dan baki 80 peratus rakyat yang lain.
Sebaliknya katanya, semua rakyat Malaysia mesti bersatu demi mempunyai harapan untuk berjaya mengatasi krisis ekonomi akibat kos tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Tegas Guan Eng, jika Anwar benar-benar ikhlas mahu mengenakan tindakan terhadap golongan berpendapatan tinggi, maka beliau juga harus menyasarkan bank-bank yang mencatat keuntungan besar.
“Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia, keuntungan sebelum cukai industri perbankan pada tahun 2025 meningkat sebanyak RM6.5 bilion atau 13.5 peratus, daripada RM48.3 bilion pada tahun 2024 kepada RM54.8 bilion pada tahun 2025.
“Mengapa golongan T20 menjadi sasaran tetapi bukan industri perbankan sedangkan bank menikmati kadar pulangan yang jauh lebih tinggi berbanding kadar purata deposit tetap 12 bulan sebanyak 2-2.3 peratus yang ditawarkan kepada pendeposit?
“Bank Negara Malaysia juga telah membantu industri perbankan dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, yang menyebabkan harga saham perbankan di Bursa Malaysia meningkat.
“PMKS kini berada dalam keadaan yang amat sukar. Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) menyatakan bahawa sektor pembuatan Malaysia bukan sahaja menghadapi krisis tetapi krisis yang semakin meruncing.
“Sebanyak 68 peratus syarikat menghadapi tekanan aliran tunai, dengan 13 peratus menyatakan ia cukup serius sehingga menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar pembekal.
“Bagi mengelakkan tuduhan dwi standard dan melindungi keuntungan bank atas penderitaan rakyat, kerajaan dan industri perbankan mesti melakukan lebih banyak usaha untuk membantu PMKS.
“Sebagai permulaan, kedua-dua kerajaan dan industri perbankan boleh dengan mudah menyerap kos moratorium pembayaran faedah selama setahun bagi pinjaman sedia ada PMKS, selain menawarkan pinjaman RM50,000 tanpa faedah dan tanpa cagaran berjumlah RM5 bilion kepada 100,000 PMKS bagi membantu mereka mengatasi masalah kekurangan aliran tunai,” cadang Guan Eng.



