KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menyeru Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh supaya menarik balik isi penyataan fakta dalam ceramahmya berkait sahabat nabi dan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
“Saya bukan ahli dalam bidang hadis dan sirah, sekadar merujuk kepada tulisan-tulisan para ulama dan pandangan orang-orang yang ahli.
“Namun apabila mendengar penjelasan YB Ahli Parlimen Pasir Puteh, ia masih agak longgar dan tidak menjelaskan sumber dakwaan yang dibuat dalam ceramah yang ditularkan.
“Sebagaimana ada seorang pemimpin mendakwa bahawa Ashabul Kahfi beragama Kristian sebelum ini, di dalam isu ini juga saya tidak berani untuk mengeluarkan pandangan sendiri melainkan berharap kepada pakar-pakar untuk keluarkan pandangan berasaskan bidang kepakaran dalam bidang hadis dan sejarah.
“Jika didengar dengan teliti isi kandungan ceramah MP Pasir Puteh itu, jelas konteks yang cuba disebut ialah Islam merubah peribadi seseorang dan mengangkat kemuliaan manusia.
“Masalah yang timbul apabila fakta tentang ‘ceti’ dan ‘zina’ itu tidak bersandarkan sumber-sumber yang muktabar. Implikasi yang timbul ialah ia boleh difahami sebagai ‘penghinaan’ terhadap peribadi sahabat Rasullah SAW walaupun sebelum memeluk Islam, sekali pun jelas beliau tidak bermaksud demikian,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Justeru, Fadhli berharap Nik Zawawi dapat menarik balik isi penyataan fakta tersebut dan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
“Beliau tidak perlu mencontohi tokoh yang mendakwa Ashabul Kahfi itu Kristian yang mana sehingga sekarang tiada sebarang penarikan balik dibuat walaupun ramai ilmuan yang berpandangan dakwaan itu tersasar.
“Semoga dengan permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan tersebut, ia akan menjernihkan semula keadaan dan kekeliruan yang timbul,” seru Fadhli.



