Netanyahu lantik Ketua Mossad baharu, pegawai tentera tiada latar belakang perisikan

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad secara rasmi melantik ketua baharu agensi perisikan luar negara negara itu, Mossad.

Mejar Jeneral Roman Gofman, seorang pegawai tentera yang tidak mempunyai latar belakang perisikan sebelum ini, akan mengambil alih jawatan tersebut pada 2 Jun 2026.

Beliau akan mengambil alih jawatan itu apabila pengarah Mossad ketika ini, David Barnea, menamatkan tempoh perkhidmatan lima tahunnya.

Netanyahu telah memilih Gofman untuk jawatan itu pada Disember tahun lalu, dengan pelantikan tersebut menerima kelulusan rasmi pada Ahad.

Dilahirkan di Belarus pada tahun 1976, Gofman berhijrah ke Israel ketika berusia 14 tahun. Beliau menyertai kor berperisai tentera pada tahun 1995 dan seterusnya membina kerjaya yang panjang dalam angkatan tentera.

Pada permulaan perang Gaza yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, Gofman merupakan komander pusat latihan infantri kebangsaan.

Beliau pernah cedera parah dalam pertempuran dengan Hamas di Sderot, sebuah bandar di selatan Israel berhampiran sempadan Gaza.

Gofman kemudian menyertai pejabat Netanyahu pada April 2024 dan dilihat sebagai seorang yang menyokong idea nasionalisnya.

Dianggap sebagai salah satu perkhidmatan perisikan terbaik di dunia, Mossad tidak dipersalahkan atas kegagalan meramalkan serangan 7 Oktober itu kerana wilayah Palestin secara tradisinya berada di luar bidang operasinya.

Namun, sebelum ini ketua badan perisikan domestik dan ketenteraan, masing-masing Shin Bet dan Aman, telah meletakkan jawatan selepas mengaku tanggungjawab mereka terhadap kegagalan tersebut, lapor AFP.

Mossad pula menonjol di mata rakyat Israel sejak 7 Oktober 2023 apabila ia menyumbang kepada beberapa pembunuhan sasaran terhadap pemimpin kanan serantau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat