LONDON – Rundingan damai berisiko tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal selepas hanya sehari, apabila Naib Presiden AS, JD Vance menyalahkan Tehran kerana enggan menerima syarat yang ditetapkan Washington.
Pegawai AS dan Iran tiba di Pakistan pada Sabtu untuk rundingan yang disifatkan sebagai “penentu hidup mati”, bertujuan menamatkan perang berdarah selama enam minggu serta membuka semula Selat Hormuz.
Namun, kurang daripada 24 jam kemudian, kedua-dua delegasi meninggalkan Islamabad tanpa sebarang persetujuan.
Dalam kenyataan selepas rundingan maraton selama 21 jam itu, Naib Presiden AS itu berkata, punca utama kegagalan berlaku apabila Iran gagal meyakinkan pihak perunding bahawa ia tidak akan berusaha membangunkan senjata nuklear.
“Soalan mudahnya ialah, adakah kita melihat komitmen yang benar-benar kukuh daripada Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear — bukan sahaja sekarang, bukan sahaja dua tahun dari sekarang, tetapi untuk jangka panjang,” kata Vance kepada pemberita selepas rundingan tersebut.
“Kami masih belum melihat perkara itu, katanya sambil menambah kegagalan rundingan itu merupakan ‘berita buruk untuk Iran, jauh lebih buruk daripada ia berita buruk untuk AS’.
Iran pula berkata rundingan itu menunjukkan sedikit kemajuan, namun akhirnya gagal disebabkan pertikaian mengenai “dua isu penting” iaitu pengurusan Selat Hormuz dan program nuklear Iran.
Seorang penganalisis Iran yang rapat dengan kerajaan memberitahu The New York Times bahawa rundingan tersebut gagal kerana tuntutan AS supaya Iran melakukan pengayaan uranium pada tahap sifar (zero enrichment) dan mengeluarkan hampir 900 paun stok simpanan uranium, selain isu Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata rundingan berlangsung dalam “suasana tidak saling mempercayai”, sambil menegaskan adalah tidak realistik untuk mengharapkan perjanjian dapat dicapai dalam satu pusingan rundingan sahaja. Mereka turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada rancangan untuk menyambung semula rundingan tersebut.
APAKAH ISU UTAMA YANG MENJADI PERTIKAIAN?
Program nuklear Iran
Ini kekal sebagai pertikaian utama antara Tehran dan Washington. AS mahu komitmen yang jelas serta boleh dikuatkuasakan bahawa Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear — atau memiliki keupayaan untuk melakukannya dengan cepat.
Iran secara konsisten menolak tuduhan bahawa ia mahu membina senjata nuklear, namun berkata, ia sanggup berunding mengenai had aktiviti nuklearnya jika sekatan ekonomi ditarik balik.Iran menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan awam dan tidak berniat menghasilkan senjata nuklear.
Washington dan Tehran pernah menandatangani perjanjian nuklear pada 2015 di bawah Presiden AS ketika itu, Barack Obama.
Perjanjian tersebut menghadkan pengayaan uranium Iran kepada 3.67 peratus sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan.
Namun, Trump yang menggantikan Obama menarik keluar AS daripada perjanjian itu tiga tahun kemudian dan mengenakan semula sekatan terhadap Iran.
Sejak itu, Iran mempercepatkan pengayaan uranium sehingga 60 peratus. Untuk menghasilkan bom atom, tahap pengayaan 90 peratus diperlukan.
Trump secara terbuka menggesa agar uranium yang telah diperkaya dikeluarkan dari Iran.
Semasa perang 12 hari Israel-Iran pada Jun, AS melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama Iran, selepas itu Trump mendakwa program nuklear Iran telah dimusnahkan.
Namun, lapan bulan kemudian, beliau memulakan perang terhadap Iran dengan menyatakan salah satu matlamat utamanya ialah menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Perang itu bermula ketika rundingan yang dimediasi Oman sedang berlangsung antara Iran dan AS.
Oman sebelum serangan bermula berkata perjanjian tersebut “hampir dicapai”.
Selat Hormuz
Isu siapa yang mengawal laluan strategik ini — yang menjadi laluan hampir semua eksport minyak dan gas asli negara-negara Teluk — telah menjadi titik panas utama.
Iran mencadangkan idea mengenakan bayaran transit kepada kapal yang melalui selat tersebut.
Sementara itu, AS bertegas selat itu mesti dibuka semula tanpa sebarang tol atau bayaran.
Penutupan hampir sepenuhnya laluan perkapalan di selat itu telah menyebabkan harga tenaga global melonjak dengan banyak negara terutama di Asia terpaksa melaksanakan langkah penjimatan luar biasa bagi mengurangkan kesan kekurangan bahan api.
Pakar berkata, penutupan hampir sepenuhnya Selat Hormuz telah menyebabkan kejutan ekonomi terburuk sejak embargo minyak 1973.
Ketika itu, 4.5 juta tong sehari dikeluarkan daripada bekalan global.
Namun penutupan Selat Hormuz hari ini telah menyekat sekitar 20 juta tong.
Memperluaskan gencatan senjata ke Lubnan
Iran mendesak supaya gencatan senjata diperluaskan ke peringkat serantau, termasuk menghentikan konflik melibatkan sekutunya seperti Hizbullah di Lubnan.
Walaupun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan sokongan terhadap keputusan Washington untuk menggantung serangan ke atas Iran, beliau menegaskan gencatan senjata itu tidak akan meliputi operasi ketenteraan Israel yang sedang berlangsung di Lebanon.
Beberapa jam selepas gencatan senjata bermula pada Rabu, Israel melancarkan puluhan serangan ke atas Lebanon, membunuh lebih 300 orang dalam sehari.
Namun Tehran menegaskan gencatan senjata itu turut merangkumi Lubnan, dengan merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di platform X yang secara jelas menyatakan demikian.
Trump menyokong kenyataan Netanyahu, menyifatkannya sebagai “pertempuran berasingan”.
Naib Presiden AS JD Vance minggu ini memberi amaran bahawa adalah “malang” bagi Iran untuk menjejaskan gencatan senjata dengan Washington hanya kerana serangan Israel di Lebanon. – AGENSI



