KUALA LUMPUR – Guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah yang mengakibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut tengah hari semalam direman dua hari.
Perintah reman terhadap guru wanita berusia 57 tahun bermula hari ini sehingga esok dikeluarkan Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah
Penahanan reman itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam media melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, lapor Harian Metro di Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, kejadian jam 1.50 tengah hari itu membabitkan seorang pemandu kereta dan mangsa adalah dua pelajar perempuan
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar dua pelajar perempuan berkenaan.
Akibat kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi parah dan menerima rawatan di hospital.



