Yayasan Akalbudi ditanggung Zahid, sumbangan rakan untuk tujuan jariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk menggunakan dana Yayasan Akalbudi bagi tujuan peribadinya.

Menurut Ahmad Zahid, 69, segala perbelanjaan yayasan yang ditubuhkan pada 1997 itu ditanggung olehnya secara peribadi.

“Pada peringkat awal penubuhan (yayasan), sebahagian besar daripada dana Yayasan Akalbudi adalah daripada sumbangan saya sendiri, hasil dari gaji dan simpanan saya antaranya keuntungan pembelian dan penjualan saham sejak bergiat aktif di dalam dunia korporat.

“Hal ini adalah untuk memastikan bahawa Yayasan Akalbudi boleh melaksanakan program amal jariah saya dan boleh menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada individu atau pihak yang memerlukan dan juga dalam pembinaan-pembinaan masjid, maahad dan sebagainya,” katanya yang merupakan seorang daripada pemegang amanah Yayasan Akalbudi sejak 1997 sehingga kini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama prosiding membela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahmad Zahid berkata selepas kerja-kerja amal jariah Yayasan Akalbudi semakin diketahui oleh orang luar sejak 2013, yayasan itu mula mendapat sumbangan daripada rakan-­rakannya seperti JMohamed Hashim Ali (saksi pendakwaan ke-29), Syed Mokhtar Al-­Bukhary, Halim Saad dan Ahmad Johan.

“Bagi tujuan ini, saya menegaskan bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali meminta tetapi hanya mempromosikan kepada mana-­mana individu mahupun syarikat bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada Yayasan Akalbudi.

“Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali menyekat dan menghalang mana-mana pihak daripada menyumbang kepada Yayasan Akalbudi,” kata Ahmad Zahid ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal.

Amanat ayahanda, ibunda

Menceritakan mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Ahmad Zahid berkata penubuhan yayasan itu adalah daripada cetusan ideanya sendiri ketika berkhidmat dalam dunia korporat dan menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional (1994-­1998) serta Ketua Pegawai Eksekutif di Kretam Holding Berhad (1994-1998), Tekala Corporation Berhad (1995-1998), Ramatex Berhad (1995-­1999) dan Seng Hup Berhad (1996-­1998).

“Saya juga menyatakan bahawa Yayasan Akalbudi ini adalah suatu amanat daripada ayahanda dan ibunda saya yang saya pegang sehingga ke hari ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk melaksanakan sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan agama serta kebajikan untuk semua golongan yang memerlukan dan tidak hanya tertumpu kepada penduduk kawasan parlimen itu sahaja.

“Pada ketika itu, saya memperoleh pendapatan lebih kurang RM120,000 sebulan dan saya hanya menggunakan lebih kurang RM30,000 hingga RM40,000 bagi kegunaan diri dan keluarga saya dan bakinya saya gunakan untuk sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan-tujuan agama serta kebajikan.

“Atas dasar untuk melakukan kerja amal jariah dan tujuan-­tujuan agama inilah saya telah menubuhkan satu yayasan yang dinamakan sebagai Yayasan Budi pada tahun 1997.

“Nama Yayasan Budi kemudiannya ditukar kepada Yayasan Akalbudi kerana nama Budi itu lebih kepada sumbangan amal jariah dan nama Akalbudi melibatkan pengertian yang lebih luas iaitu melibatkan kegiatan ilmiah, penyelidikan dan bidang-bidang akademik bagi tujuan intelektual,” katanya.

Ahmad Zahid mengesahkan bahawa sejak penubuhan Yayasan Akalbudi, kesemua pemegang amanah yayasan itu tidak pernah membantah berkenaan dana-­dana yang disalurkan kepada tujuan pembinaan Masjid atau Maahad, rumah anak yatim, surau dan sebagainya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata pendapatannya semasa dalam kerajaan lebih kurang RM50,000 sebulan dan simpanannya ketika ini sebanyak RM2 juta lebih di dalam akaun simpanan di Bank Islam Cawangan KL Sentral.

“Sebagai ahli politik dan menteri kabinet, saya tidak dibenarkan terlibat dalam dunia korporat perniagaan dan saya tidak terlibat sebagai mana-­mana pengarah dalam syarikat korporat semasa memegang jawatan dalam kerajaan tetapi masih boleh memegang saham-­saham yang tersenarai atau tidak tersenarai.

“Namun, saham-­saham itu dipegang oleh nominee companies yang saya lantik untuk memegang bagi pihak diri saya sendiri,” katanya yang memegang jawatan timbalan perdana menteri pada 29 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,601FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat