UMNO Sabah Persoal Projek ‘Saat Akhir’ Kerajaan Negeri Menjelang PRN

- Advertisement -

KOTA KINABALU, 13 Mac 2025 – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang giat mengumumkan pelbagai projek pembangunan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau mempertikaikan sama ada pengumuman tersebut benar-benar bertujuan membangunkan negeri atau sekadar strategi lama untuk meraih undi.

“Taktik mengumumkan projek saat akhir adalah strategi politik zaman batu yang tidak lagi relevan di era kini.

“Rakyat Sabah bukan mudah diperdaya dengan janji manis, lebih-lebih lagi apabila mereka masih berdepan kesulitan mendapatkan kemudahan asas yang sepatutnya sudah lama diselesaikan,”** katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu turut mempertikai kesungguhan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam menangani masalah asas rakyat seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya.

Menurutnya, sejak kerajaan negeri mengambil alih pentadbiran, belum ada penyelesaian konkrit terhadap isu infrastruktur ini.

“Jika kerajaan negeri benar-benar serius, sepatutnya masalah asas rakyat ini telah lama menjadi keutamaan, bukan hanya dijadikan modal politik menjelang pilihan raya,” tegasnya.

Kelewatan dalam menangani isu ini, katanya, telah menjejaskan kehidupan rakyat serta sektor ekonomi Sabah.

Bung Moktar menegaskan bahawa rakyat Sabah mahu tindakan nyata, bukan sekadar pengumuman megah yang akhirnya tinggal janji kosong.

“Kerajaan negeri harus bersikap telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dengan polisi serta pelaksanaan yang berkesan, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Dengan PRN Sabah semakin hampir, perhatian kini tertumpu kepada reaksi rakyat terhadap pengumuman projek pembangunan ini, sama ada ia benar-benar akan membawa perubahan atau hanya janji pilihan raya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat