Bursa Malaysia Dijangka Terus Catat Aliran Meningkat – Penganalisis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus mencatatkan aliran meningkat pada minggu depan berikutan sentimen yang lebih baik walaupun pasaran serantau tidak menentu, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,570 hingga 1,585.

“Dari aspek teknikal, paras halangan segera tidak berubah pada 1,600 manakala paras sokongan pada 1,570,” katanya kepada Bernama.

FBM KLCI mengakhiri minggu ini pada paras tertinggi harian selama tiga hari berturut-turut, disokong oleh minat belian yang meningkat dan aktiviti belian saham pada harga rendah.

Pada Jumaat, indeks petunjuk pasaran naik sebanyak 0.56 peratus atau 8.79 mata untuk ditutup kepada 1,578.89, didorong terutamanya oleh kaunter perbankan, perladangan dan telekomunikasi.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, didorong oleh pemulihan dalam permintaan domestik berikutan aktiviti ekonomi yang disambung semula.

Katanya secara keseluruhannya, prestasi ekonomi Malaysia pada 2021 menunjukkan momentum pemulihan dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penurunan sebanyak 5.6 peratus pada 2020.

Thong berkata data mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada di bawah jangkaan tetapi prospek pembukaan semula sempadan adalah positif untuk sektor lain.

“Kami menjangka prestasi ekonomi pada suku pertama 2022 akan lebih baik,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan sentimen yang lebih baik dan aktiviti belian yang meningkat walaupun turun naik pasaran yang tinggi di rantau ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 56.13 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,578.89 daripada 1,522.76 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 360.85 mata kepada 11,320.42, Indeks FBMT100 menambah 357.80 mata kepada 11,000.73 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 373.58 mata kepada 12,040.39.

FBM 70 naik 302.04 mata kepada 13,781.29 dan FBM ACE meningkat 159.21 mata kepada 6,344.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 510.96 mata kepada 16,296.65, Indeks Perladangan menambah 670.56 mata kepada 7,214.42 manakala Indeks Tenaga merosot 1.15 mata kepada 788.79.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 7.64 mata kepada 210.94, Indeks Teknologi meningkat 2.39 mata kepada 83.88 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 24.26 mata kepada 2,186.72.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.28 bilion unit bernilai RM12.03 bilion daripada 5.70 bilion unit bernilai RM4.36 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.47 bilion saham bernilai RM10.72 bilion daripada 3.80 bilion saham bernilai RM3.78 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.74 bilion unit bernilai RM200.92 juta daripada 589.12 juta unit bernilai RM200.11 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 4.05 bilion saham bernilai RM1.11 bilion daripada 1.31 bilion saham bernilai RM521.37 juta pada minggu sebelumnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat