Rasman Persoal Motif Ketua Srikandi Bahagian Bersatu Keluar Parti dan Isu Gangguan Seksual

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Konspirasi politik serta cubaan pembunuhan karakter yang didakwa dirancang dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan melemahkan semangat Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi, Rasman Ithnain untuk terus berjuang dalam parti itu.

Rasman berkata, selain isu gangguan seksual dihadapi beliau, isu tidak percaya kepada kepimpinan beliau sebagai Ketua Bahagian sepatutnya diutarakan lebih awal malah boleh diselesaikan di peringkat dalaman.

Perkara itu disuarakan Rasman susulan tindakan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi, Zaharah Kassim yang meletakkan jawatan serta mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta merta, semalam.

Rasman berkata, sekiranya benar wujud isu atau masalah ketidakpercayaan seperti dinyatakan ia patut dimaklum lebih awal dan bukan bertindak keluar parti pada tempoh getir menjelang PRN Johor, bulan depan.

“Saya sentiasa terbuka untuk menerima apa-apa maklum balas dan akan sentiasa berhubung dengan kepimpinan parti di peringkat Negeri mahupun Pusat dalam mendapatkan nasihat dan menyelesaikan masalah dalaman Bahagian Parti.

“Tindakan bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian yang meletak jawatan dan keluar dari parti dalam tempoh beberapa hari lagi penamaan calon dan hari pengundian PRN Johor diadakan adalah amat ‘cliche’.

“Pada peringkat Bahagian mahupun Cawangan, sebarang isu ketidakpercayaan dan ketidakpuasan hati terhadap mana-mana Ketua dan Parti dalam kes ini sepatutnya boleh disuarakan dengan lebih awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi, Zaharah Kassim umum meletakkan jawatannya dan mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta merta melalui satu sidang media selepas mendakwa tidak lagi percaya kepada kepimpinan Rasman.

Rasman yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili berkata, sehingga kini juga tiada sebarang bukti berkenaan 30 ahli Bersatu Bahagian Kota Tinggi yang didakwa turut bertindak keluar daripada parti, semalam.

“Saya hanya ingin menasihatkan mereka yang bertindak keluar parti supaya muhasabah diri dan tidak termakan umpan dengan mana-mana pihak, jika ada yang menjanjikan apa-apa sebagai balasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rasman yang dikaitkan dengan isu gangguan seksual menyifatkan pengadu, Nursyafiqah Badsulhisham yang juga anak kepada Zaharah membuat sidang media secara terbuka terhadap kes itu sebagai mengganggu siasatan pihak polis.

“Negara kita mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi dan diikuti. Saya telah dinasihati oleh barisan peguam saya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen lanjut berhubung siasatan polis ke atas satu laporan polis yang telah dibuat terhadap saya.

“Hal ini disebabkan oleh siasatan yang masih berjalan dan sebarang kenyataan atau spekulasi berpotensi untuk memprejudiskan dan memberi kesan terhadap hasil siasatan.
“Saya juga telah memberi kerjasama dan komitmen penuh kepada pihak PDRM sepanjang tempoh siasatan kes ini,” katanya.

Rasman mendakwa, ketika sidang media itu, terdapat kenyataan berbaur fitnah dilemparkan terhadapnya.

Tindakan itu katanya, bukan sahaja membuka ruang untuk tuduhan rambang terus dibuat pelbagai pihak, malah dengan jelas sebagai satu usaha mencemarkan nama beliau sedangkan kes itu masih dalam siasatan polis.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya. Selebihnya, saya menyerahkan segala urusan siasatan kepada polis dan Pejabat Peguam Negara.

“Saya juga sudah mengarahkan barisan peguam saya untuk meneruskan tuntutan tindakan sivil terhadap dua beranak itu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya melalui beberapa kenyataan dan tindakan mereka,” jelasnya. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat