Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Akan Dianjur Di Peringkat Negeri – KSN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penganjuran program dan inisiatif seumpama Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata penganjuran program berkenaan akan diadakan melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama untuk Keluarga Malaysia di seluruh negara.

“Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap merumuskan Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di sini hari ini.

Mohd Zuki berkata program sepanjang empat hari bermula Khamis lepas menyaksikan sambutan luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 103,000 pengunjung, berbanding sasaran 20,000 pengunjung.

Menurutnya program julung kali yang melibatkan penyertaan semua kementerian dan agensi berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat kerana pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan.

Mohd Zuki berkata Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia menawarkan 24,136 jawatan daripada 75 majikan, manakala 3,628 daripada 4,005 peserta berdaftar dipanggil menghadiri temu duga dan lebih 2,290 orang berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini.

Katanya program Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) Keluarga Malaysia pula memberi peluang kepada lebih 5,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mendapatkan maklumat, tawaran secara langsung untuk memasuki program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti serta IPT di samping menerima bantuan antaranya komputer riba dan pelan data Internet.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 9 pagi hingga 10 malam itu melabuhkan tirai hari ini.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan serta pameran dan jualan usahawan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat