Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalu-alukan penerbit /syarikat yang berkelayakan untuk mengemukakan permohonan dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN).
Permohonan dana boleh dikemukakan kepada DBP dan kelulusan pemberian dana tertakluk pada syarat yang telah ditetapkan.
DBP melalui kenyataannya memaklumkan, dana PIBN yang disalurkan oleh kerajaan kepada DBP melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu pembangunan dan perkembangan industri buku negara.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 662 judul buku telah berjaya diterbitkan menggunakan dana PIBN dan ianya telah memberikan manafaat kepada 248 penerbit /syarikat.
“Pemohon yang layak perlu memastikan kandungan buku yang diluluskan bawah dana PIBN ini bebas daripada isu sensitif seperti perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan negara dan kemoraian serta kesejahteraan rakyat, termasuklah isu kepercayaan, bangsa /kaum, agama dan institusi diraja, ”kata kenyataan itu.
“DBP selaku urus setia dana PIBN perlu memastikan pemberian dana ini mematuhi tataurusan yang telah ditetapkan berdasarkan dasar, peraturan dan pekeliling kerajaan.
“Dengan hal yang demikian, DBP meminta semua pemohon dana PIBN dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Selain itu, tidak melanggar mana-mana dasar peraturan dan pekeliling kerajaan yang berkaitan dengan kandungan serta penerbitan di Malaysia dengan merujuk dokumen kerajaan yang berkuat kuasa, ”katanya.
“Walau bagaimanapun, dalam tataurusan dana PIBN, DBP tidak menetapkan syarat sesuatu kandungannya buku yang berunsur agama untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti yang didakwa oleh sebuah video yang dimuat naik melalui media sosial baru – baru ini.
“Selaku urus setia, kami sentiasa membantu dan memudahkan urusan pemberian dana ini agar penerbit /syarikat dapat merancakkan industri pembukuan negara.
“Jika terdapat sebarang masalah atau isu berkaitan dengan dana ini, bolehlah berhubung terus dengan urus setia dana PIBN, DBP, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV