Wakaf FELDA bantu Keluarga Malaysia keluar daripada kemiskinan -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan Wakaf FELDA selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu aspirasi penubuhan Wakaf Felda ini dicetuskan sendiri oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, pelancaran Wakaf FELDA pada hari ini menjadi bukti peranan penting FELDA yang sentiasa terkehadapan dalam menyokong dan menjadi tunjang penting pembangunan ekonomi negara.

” Peranan ini adalah bersandarkan kekuatan semangat warga peneroka sejak 65 tahun lalu, yang jauh datang merantau, meninggalkan kampung halaman, ke kawasan FELDA yang jauh di pedalaman demi mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

” Alhamdulillah, kini berkat kesabaran itu, taraf sosioekonomi warga FELDA telah berjaya melonjak. Kejayaan ini jugalah yang saya rasakan membawa kepada tercetusnya aspirasi Datuk Seri Idris Jusoh untuk menubuhkan Wakaf FELDA,” katanya pada majlis pelancaran di Menara FELDA pada Jumaat.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional.

” Justeru, wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12. Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMKe-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

” Menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

” Kerajaan juga sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional, iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia,” jelas beliau.

Ujar Ismail Sabri, dalam kita menggembleng pendekatan whole-of-nation, institusi wakaf perlu bersama-sama memain peranan untuk melonjakkan sosioekonomi komuniti sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, iltizam ini boleh dicapai melalui Wakaf FELDA yang bakal dilaksanakan nanti dengan menggunakan konsep wakaf korporat.

” Objektif penubuhan Wakaf FELDA ini adalah menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian
FELDA.

” Ia bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya
tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan.

” Wakaf FELDA akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh
FELDA sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan FELDA, dan MSM Holdings Berhad dan beberapa agensi berkaitan FELDA yang lain.

” Ia bagi membolehkan Wakaf FELDA ini ia dapat bergerak dengan lebih mampan sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai warga Keluarga Malaysia yang memerlukan,” jelas Perdana Menteri.

Menerangkan lebih lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Wakaf FELDA ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, 5 peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula.

” Sehubungan itu, saya meletakkan harapan untuk FELDA mengambil peluang ini bagi mempelopori Revolusi Industri 4.0 atau juga masyarakat 5.0 dalam pelaksanaan wakaf dan seterusnya mengangkat FELDA sebagai peneraju ekonomi luar bandar.

” Insya-Allah, dengan tadbir urus yang jitu, Wakaf FELDA akan mampu menguruskan aset sehingga RM 500 juta menjelang 2030 seperti yang diaspirasikan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat