PKPB Pendekatan Terbaik, Proaktif Putuskan Rantaian Jangkitan Covid – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri yang mempunyai kes positif Covid-19 tertinggi merupakan pendekatan terbaik memutuskan rantaian jangkitan itu.

Ini kerana tindakan itu dilihat lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam dapat dirancang sebaiknya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan yang amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, jika penularan jangkitan telah menular ke setiap daerah di dalam negeri tersebut dan terus merekodkan kes-kes baharu setiap hari, ini bermakna penularan jangkitan itu tidak lagi dapat dibendung dengan berkesan.

Jelas beliau, situasi pandemik di Sabah dan seluruh Lembah Klang pada waktu ini menyaksikan kadar peningkatan kes harian yang agak mendadak berbanding sebelum ini.

“Bagi kawasan Lembah Klang (Selangor, KL dan Putrajaya) walaupun bilangan kes yang direkodkan pada setiap hari kurang daripada 100 kes tetapi ia secara konsisten merekodkan kes baharu setiap hari dan mula menular ke semua daerah kecuali Sabak Bernam.

“Kita tidak lagi boleh untuk hanya melihat dan menunggu zon-zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan perintah-perintah kawalan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Penting untuk kita faham bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak situasi pandemik di sesebuah negeri itu bukan hanya sekadar melihat bilangan kes positif tetapi juga corak penularan jangkitan tersebut di dalam negeri itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat