Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda bebas sepenuhnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kegagalan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan mahkamah yang membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, menyebabkan mereka dibebaskan sepenuhnya daripada tuduhan meminda laporan akhir audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membatalkan dua notis rayuan pendakwaan tersebut selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal mengikut masa yang ditetapkan untuk memfailkan notis dan dianggap luput serta terbatal.

Tarikh akhir bagi pendakwaan perlu memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh pada 6 Julai lalu, lapor Sinar Harian pada Selasa.

Pada 12 Disember 2018, mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 70, didakwa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden Umno itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, setakat 30 Ogos lalu, pihak pendakwaan dilaporkan belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan berkenaan.
Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan notis rayuan yang difailkan sebelum ini dibatalkan dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Mac lalu dikekalkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat