KUALA LUMPUR – Rombakan pengurusan fiskal negara dijangka akan memedihkan bagi rakyat kurang bernasib baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) semalam, beliau mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa seyogianya usaha kerajaan untuk merombak pengurusan fiskal negara.
Namun katanya, tidak boleh mendatangkan kesan mendadak kepada ekonomi Malaysia dan rakyat, yang sudah tentu masih lagi bergelumang dalam masalah kos sara hidup tinggi.
“Memang benar reformasi fiskal perlu dibuat untuk mengembangkan hasil kerajaan dan mengurangkan ketirisan daripada perbelanjaan subsidi menyeluruh, agar kerajaan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan pembinaan prasarana dan bantuan bersasar.
“Namun, saya telah menitik berat tentang menjaga rakyat kurang bernasib baik semasa kerajaan melakukan konsolidasi fiskal berperingkat yang mungkin memedihkan pada mulanya,” kata Anwar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatankuasa juga sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan Oktober.
“FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.
“Adalah menjadi mandat Kerajaan Perpaduan untuk senantiasa melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.
Jelas Perdana Menteri lagi, Malaysia akan secepat mungkin kembali gah sebagai pelopor ekonomi serantau dengan rakyatnya mempunyai kualiti hidup bermakna, seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani.