KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli akui malu dengan tindakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mencampur adukkan kehendak dan kemahuannya dengan pendidikan kanak-kanak.
Sebagai ahli Parlimen PKR, Rafizi menegur Fadhlina yang menjadi cheerleader ajak murid-murid sekolah ucapkan Happy Birthday PMX We Love You.
“Sekolah adalah tempat yang sangat penting untuk kita. Sekolah bukan sahaja memberi ilmu, ia tempat memupuk budaya dan sikap. Bila Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek jadi cheerleader ajak murid-murid sekolah ucapkan Happy Birthday PMX We Love You, saya kena tegur Fadhlina.
“Jangan kita campur adukkan kehendak dan kemahuan kita dengan pendidikan kanak-kanak. Kalau ya pun dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid,” tegur bekas Menteri Ekonomi itu.
Rafizi mengingatkan Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR itu bahawa sekolah tidak boleh dicampur adukkan dengan politik dan pandangan peribadinya.
“Bila dia buat begitu, nanti di masa akan datang tak salahlah menteri-menteri pendidikan akan datang meminta murid-murid, pelajar dan siswa menyatakan taat setia dan kecintaan kepada pemimpin lain.
“Sedangkan sekolah tidak boleh dicampur adukkan dengan politik dan pandangan peribadi kita.
“Saya cukup berhati-hati dengan sekolah. Sepanjang saya jadi Ahli Parlimen, sebaik mungkin saya bantu permohonan sekolah-sekolah di Pandan. Tapi saya hanya hadir ke dalam kawasan sekolah sekali sahaja, itu pun sebab dipujuk sangat oleh guru besar. Sebabnya ialah saya tidak mahu campur adukkan politik dengan sekolah dan anak-anak kita.
“Saya tahu kalau orang lain buat, saya akan marah.
“Tapi kini bila Menteri Pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu. Lepas ni orang PKR tak boleh kritik dah kalau ada ahli politik masuk sekolah dengan mesej politik,” ujar bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi.



