Guan Eng dakwa Akmal langgar Rukun Negara, ancam perpaduan negara

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh wajar dikecam kerana bukan sahaja cuba campur tangan dalam pentadbiran keadilan serta memberi tekanan yang tidak wajar terhadap Jabatan Peguam Negara.

Malah turut membuli seorang warga emas rakyat Malaysia dari golongan minoriti yang telah pun memohon maaf dan ditahan oleh pihak polis atas kesilapan yang tidak disengajakan,” dakwa Penasihat Kebangsaan DAP Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah bersuara menentang tindakan pihak yang cuba mengeksploitasi kesilapan tidak disengajakan oleh rakyat biasa Malaysia.

“Ahli-ahli DAP di Pulau Pinang akan mempertahankan sebuah kedai perkakasan milik rakyat Malaysia berbangsa Cina yang secara tidak sengaja menaikkan bendera terbalik, daripada ancaman penunjuk perasaan ekstremis, dengan memberikan 831 bendera Malaysia sebagai simbol perpaduan.

” Dr Akmal telah mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai perkakasan tersebut di Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari Khamis sekiranya pemilik kedai tidak didakwa selewat-lewatnya esok.

“Mengapa perlu Dr Akmal melancarkan protes yang bersifat provokatif dan sensitif apabila pihak berkuasa sudah pun mengambil tindakan? Tambahan pula, Dr Akmal mengamalkan sikap dwi-standard dan pendakwaan terpilih apabila tidak bertindak keras dan kejam terhadap agensi kerajaan, parti politik Melayu seperti Pas atau bahkan Pemuda Umno Terengganu sendiri yang pernah melakukan kesilapan serupa melibatkan bendera Malaysia,” selar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut Guan Eng lagi, kenyataan Anthony Loke adalah tepat, apabila menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menghormati undang-undang harus menangkis kelakuan tidak matang sedemikian dengan secara tenang mengedarkan bendera kepada mereka yang cuba menimbulkan kekacauan melalui tindakan protes yang tidak perlu.

“Negara tidak boleh membiarkan seorang individu yang tidak bertanggungjawab memesongkan naratif yang palsu dan berbahaya dan sarat dengan kebencian, pembulian serta campur tangan dalam pentadbiran keadilan yang bertentangan dengan asas-asas Rukun Negara.

“Akmal mesti dihentikan dan Kementerian Dalam Negeri harus mengambil tindakan terhadap beliau kerana melanggar Rukun Negara serta menjadi ancaman nyata terhadap perpaduan negara, keharmonian, pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang,” cadang Guan Eng.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat