Majlis Peguam tidak wajar turun ke jalanan dalam isu Ketua Hakim Negara – Peguam

KUALA LUMPUR, – Tindakan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) menganjurkan perarakan dari Kompleks Mahkamah ke Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini mengundang kritikan daripada kalangan pengamal undang-undang sendiri, yang melihatnya sebagai langkah yang merendahkan martabat institusi profesional guaman negara.

Datuk Shamsuddin Nawawi, seorang peguambela dan peguamcara kanan, mempersoalkan sama ada tindakan demonstrasi tersebut selari dengan imej dan mandat Majlis Peguam yang ditubuhkan menerusi Akta Profesion Undang-Undang 1976.

“Majlis Peguam bukan NGO aktivis. Ia bukan ditubuhkan sebagai gerakan pendesak jalanan. Ia sebuah badan profesional undang-undang yang anggotanya terdiri daripada tokoh-tokoh kanan perundangan negara mereka yang dihormati, yang dalam interaksi harian pun menggunakan ungkapan seperti ‘my learned friend’ dan bukan bahasa kasual,” katanya.

Shamsuddin turut menyentuh bagaimana ahli Majlis Peguam, ramai daripadanya bergelar Tun, Tan Sri, Dato’, Profesor dan sebagainya, sepatutnya membawa pendekatan yang berwibawa dan berhemah dalam menyuarakan pandangan terhadap isu-isu perundangan.

Beliau menambah bahawa, memandangkan Majlis Peguam mempunyai akses langsung kepada struktur tertinggi negara termasuk Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja, sebarang memorandum boleh diserahkan secara rasmi bukan menerusi perarakan berpanas sambil memakai jubah kamar.

“Sebagai institusi yang berwibawa, mereka boleh saja membuat temujanji rasmi. Mengapa perlu memilih jalan yang hanya meletakkan mereka setaraf dengan pendemonstrasi biasa? Lebih-lebih lagi apabila sistem kehakiman negara sebenarnya tidak lumpuh,” tegasnya.

Shamsuddin menyifatkan tindakan itu sebagai simbolik yang kurang tepat pada waktunya kerana kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara telahpun dipangku oleh Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, berkuat kuasa 3 Julai lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa sistem kehakiman tetap beroperasi mengikut lunas undang-undang, dan proses pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara kekal di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan nasihat Perdana Menteri.

“Apakah hanya kerana ada sedikit kelewatan dalam pelantikan tetap, maka Majlis Peguam perlu mengheret seluruh institusi ke jalanan? Ini bukan satu krisis, dan tidak sepatutnya dijadikan pentas tekanan awam,” ujar beliau lagi.

Shamsuddin turut melahirkan kekhuatiran bahawa tindakan seperti ini boleh menjejaskan imej Majlis Peguam dalam jangka panjang, dan menyarankan agar segala tindakan masa depan dirujuk semula kepada prinsip asal penubuhan badan itu sebagai penjaga integriti dan martabat profesion guaman.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat