PDRM Buka 266 Kertas Siasatan Berhubung Berita Palsu Covid-19

- Advertisement -

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 266 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu juga, 30 sudah didakwa di mahkamah, 12 diberikan amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 individu sudah mengaku bersalah.

“Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya.

Ismail berkata, sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu dimaklumkan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103 atau layari www.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita.

“Setakat hari ini, jumlah layaran portal SEBENARNYA.MY mencecah lebih 163 juta,” katanya lagi.

Dalam kenyataan itu juga, Ismail Sabri berkata seramai 1,000 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2.

“Daripada jumlah itu, 998 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine) manakala 2 individu dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 70,190 pemeriksaan telah dilakukan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pada Sabtu bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri menjelaskan, daripada pemeriksaan tersebut, PDRM telah menahan 29 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dimana 8 individu telah direman manakala 21 individu dikenakan kompaun.

Beliau juga memberitahu, tiga individu ditahan akibat aktiviti dalam pub atau kelab malam manakala 13 individu yang lain melakukan kesalahan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Sementara 13 lagi individu terlibat kesalahan ingkar PKP akibat aktiviti melanggar SOP.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat