Luca sindir manusia bersikap lalang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada awal kemunculan nama Luca Sickta mungkin masih asing dalam kalangan peminat muzik tempatan. Namun, lagu 7 Nasihat dendangan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya melonjakkan populariti komposer dan penyanyi rap muda itu.

Gandingannya bersama Kmy Kmo yang juga komposer dan penulis lirik lagu berkenaan menjadikan duo itu semakin dikenali dan menarik minat kebanyakan penyanyi bekerjasama dengan mereka. Bagi meneruskan langkah seni, Luca Sickta atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin bergerak secara solo.

Tanpa bergandingan dengan Kmy, Luca cuba nasib menerusi projek sulung dengan menghasilkan single Yang Ini Yang Itu yang menampilkan penyanyi rap wanita yang sedang meningkat naik, Heidi.

Luca berkata, single Yang Ini Yang Itu bergenre Hip Hop dan sedikit elemen pop itu menceritakan karakter seseorang yang bersikap ‘lalang’ atau tidak mempunyai pendirian tetap.

“Single Yang Ini Yang Itu menampilkan Heidi, jadi saya membawakan ‘lalang’ daripada perspektif lelaki. Liriknya saya tulis bersama Heidi.

“Lagu ini berdasarkan pengalaman hidup dilalui sepanjang mengenali pelbagai jenis dan ragam manusia. Saya mulai kenal ragam orang sekeliling, sikap mereka itulah dijadikan lagu. Tujuannya untuk dijadikan pengajaran.

“Saya percaya mungkin cerita dalam single ini pernah dilalui orang lain. Secara peribadi manusia lalang merimaskan. Bagaimanapun, jika tiada orang seperti ini, kita mungkin tidak akan dapat belajar sesuatu,” katanya kepada BH Online.

Mengenai pemilihan Heidi, Luca menyifatkan penyanyi lagu Ily itu mempunyai karektor tersendiri dalam rap, sekali gus memberi warna baharu dalam muzik dan lagu yang dipersembahkan.

“Heidi, mempunyai karakter yang kuat dalam rap. Gaya dan lontaran vokalnya berbeza dengan penyanyi rap wanita lain. Apabila bekerjasama dalam single ini, kita boleh dengar karakter yang dimiliki.

“Sebelum ini, kami tak pernah bekerjasama. Saya lebih banyak bersama Kmy. Single ini menjadi projek sulung saya dan memilih menampilkan penyanyi lain,” katanya.

Kata Luca, dia mempunyai alasan tidak tampil secara solo.

“Kenapa tak buat solo? Saya daripada muzik rap, jadi saya mahu melakukan eksperimen dengan ramai penyanyi. Daripada situ, saya boleh mempelajari sesuatu yang baharu. Lain orang lain pengalaman kerana setiap individu berbeza karektor terutama ketika dalam menghasilkan lagu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Luca berkata, dia bersama Kmy dalam perancangan menghasilkan album sulung.

“Saya ada projek bersama Kmy sehingga terbitnya album. Ini adalah perancangan kami. Jika ada rezeki dan masa yang tepat, mungkin tahun depan.

“Lagu pula sudah semestinya single baharu dan ada juga diselitkan lagu yang pernah keluar. Untuk peribadi, selepas lagu baharu ini tidak ada lagi lagu lain untuk tahun ini. Jika ada pun mungkin tahun depan.

“Cuma, single kami berdua menampilkan penyanyi lain dijangka keluar, hujung tahun ini. Kami masih masih dalam proses ‘meminang’ penyanyi berkenaan. Saya tak boleh sebutkan siapa gerangan penyanyi, tetapi dia adalah leganda. Lagu sudah ada, cuma menunggu kata putus dan terus buat rakaman,” katanya.

Single Yang Ini Yang Itu terbitan dan edaran Universal Music dilancarkan pada 10 Julai lalu. Serentak itu, video muzik rasmi dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat