Lima lagu raya diberi nafas baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syawal diraikan dalam suasana berbeza berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang merentas negeri untuk pulang ke kampung dan aktiviti kunjung mengunjungi.

Bagaimanapun, bagi menyemarakkan suasana sambutan Aidilfitri, Primeworks Studios (PWS) menganjurkan kempen #coverlagurayaTV3.

Kempen #coverlagurayaTV3 diadakan hingga penghujung Syawal itu mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia menampilkan kreativiti dalam memberi nafas baharu kepada lagu raya.

Bagi menghangatkan kempen itu, PWS menampilkan lima muzik video istimewa lagu raya nostalgia yang diberi nafas baharu. Muzik video yang disiarkan sejak hari pertama Syawal itu menampilkan Fly & The Gypsy Cats bersama NJWA dan Sarah Ismail. Mereka mendendangkan lagu raya malar segar yang diberikan nafas baharu dan lagu baharu ciptaan Audi Mok bersama Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Datuk Ahmad Izham Omar.

Diberikan sentuhan susunan muzik irama pengarah muzik Fly Halizor, empat lagu yang diberikan nafas baharu tetapi masih mengekalkan keasliannya ialah Dendang Perantau dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma), Selamat Hari Raya (Fazidah Joned) dan Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Ellina). Selain itu, kumpulan VE turut terbabit dalam kempen berkenaan.

Izham berkata, selain menyemarakkan sambutan Aidilfitri dalam suasana normal baharu, kempen lagu raya itu bertujuan mencungkil kreativiti rakyat Malaysia dalam memberikan nafas berbeza kepada lagu raya malar segar.

“Saya berbesar hati dapat berkolaborasi bersama Fly & The Gypsy Cats, NJWA, Sarah dan VE yang disifatkan sebagai penyanyi dan pemuzik berbakat besar.

“Penyanyi dan pemuzik yang terbabit dalam kempen ini memiliki bakat istimewa. Selain mencungkil kreativiti rakyat Malaysia dalam dunia penggubahan lagu, kami ingin peminat mengiktiraf bakat dimiliki pemuzik dan penyanyi dalam kempen ini.

“Bagi saya, pemilihan mereka adalah pilihan tepat. Saya sendiri mengagumi Fly Halizor yang memberikan suntikan baharu dan tidak disangka kepada lagu dipilih. Begitu juga VE, mereka berjaya menyiapkan empat lagu diberikan susunan muzik baharu dalam tempoh kurang empat jam.

“Kami berterima kasih kepada NJWA dan Sarah yang sudi bekerjasama dalam menyumbangkan vokal untuk kempen lagu raya ini. Kami mahu peminat menjadikan mereka idola menerusi kempen dijayakan,” katanya kepada BH Online.

Peminat yang ingin menyertai kempen boleh memuat naik video nyanyian dalam laman sosial masing-masing dengan meletakkan tanda pagar #coverlagurayaTV3.

Video kreatif dan menarik akan menerima hadiah istimewa, selain video dihasilkan akan ditayangkan di laman sosial milik penganjur.

Izham berkata, bukan mudah memilih empat lagu untuk kempen memandangkan terdapat banyak lagu raya popular. Empat lagu menjadi pilihan disaring daripada 16 lagu raya popular.

Sumber Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat