RIYADH,— Unit tentera Pakistan termasuk pesawat pejuang dilaporkan telah tiba di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Perjanjian Pertahanan Bersama Strategik antara kedua-dua negara.
Menurut laporan Al Arabiya yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Arab Saudi, pasukan ketenteraan dari Republik Islam Pakistan itu tiba di Pangkalan Udara Raja Abdulaziz di sektor timur negara berkenaan.
Kementerian itu memaklumkan, aset yang tiba merangkumi pesawat pejuang serta pesawat sokongan dengan tujuan meningkatkan penyelarasan ketenteraan bersama dan memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi antara angkatan bersenjata kedua-dua negara.
“Ministry of Defense announces the arrival of a military force from the Islamic Republic of Pakistan to King Abdulaziz Air Base in the Eastern Sector as part of the Strategic Mutual Defense Agreement signed between the two brotherly countries,” menurut kenyataan itu.
Arab Saudi dan Pakistan sebelum ini menandatangani perjanjian pertahanan strategik pada 17 September 2025 yang menetapkan bahawa sebarang serangan terhadap salah satu negara akan dianggap sebagai serangan terhadap kedua-duanya.
Perkembangan itu hadir ketika sumber keselamatan Pakistan menyatakan Islamabad akan berdiri bersama Riyadh sekiranya konflik dengan Iran terus memuncak.
Laporan Al Arabiya turut menyebut bahawa tentera Pakistan mengecam serangan berterusan Iran ke atas Arab Saudi, sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang boleh menjejaskan usaha damai yang sedang diusahakan.
Iran dilaporkan berulang kali menyasarkan Arab Saudi sejak perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu, meskipun Riyadh menegaskan wilayahnya tidak akan digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Tehran.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan terus memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran, dengan kedua-dua pihak masih bertukar mesej melalui Islamabad.
Bagaimanapun, menurut sumber kanan Iran yang dipetik Reuters dalam laporan Al Arabiya, Tehran tidak akan menunjukkan sebarang kelonggaran selagi Washington terus mendesak “penyerahan di bawah tekanan”.
Sumber itu turut memberi amaran bahawa sekiranya konflik terus meningkat, sekutu Iran berkemungkinan akan bertindak menutup Selat Bab al-Mandeb, selain penutupan efektif Selat Hormuz yang sudah pun menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global. – SuaraTV



