Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi amaran bahawa sebarang tindakan melepaskan ikan berpenyakit atau menyalirkan air tercemar ke sistem saliran awam adalah tidak bertanggungjawab dan boleh memberi kesan serius terhadap kelangsungan spesies ikan tempatan seperti kelah dan lampam serta menjejaskan keseimbangan ekosistem perairan negara.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata status perairan umum di Semenanjung Malaysia kekal selamat dan bebas daripada jangkitan Koi Herpesvirus (KHV), meskipun terdapat kes dilaporkan di beberapa kawasan di Sabah.
“Melalui pelaksanaan berterusan Program Survelan Kesihatan Ikan Nasional, DOF mengesahkan tiada penularan KHV dikesan di sungai dan tasik di Semenanjung.
“Data turut menunjukkan penurunan
kes di ladang ikan koi swasta daripada tujuh kes pada tahun 2022 kepada tiga kes pada 2025, dengan kesemua kejadian berjaya dikawal sepenuhnya tanpa merebak ke perairan awam, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, situasi di Sabah merupakan peringatan jelas bahawa ancaman penyakit ikan boleh berlaku pada bila-bila masa dan semua pihak tidak boleh leka dalam aspek biosekuriti.
Beliau menegaskan bahawa pengusaha
akuakultur perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan mematuhi protokol kuarantin dan pengurusan ladang tanpa kompromi.
Ujarnya, KHV tidak mempunyai rawatan atau vaksin, tindakan pelupusan segera terhadap ikan yang dijangkiti adalah langkah paling berkesan bagi memutuskan rantaian jangkitan dan mengelakkan penularan yang lebih luas.
“DOF akan terus memperkukuh langkah kawalan melalui pelaksanaan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun ke atas ladang spesies Cyprinidae.
Selain itu, memperketat kawalan kemasukan di pintu masuk negara dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta meningkatkan pemantauan dan kesiapsiagaan tindak balas pantas terhadap sebarang kejadian luar biasa, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, DOF menyeru semua pengusaha dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kejadian kematian ikan luar biasa kepada pejabat perikanan berhampiran.
“Kerjasama dan pematuhan berterusan terhadap garis panduan biosekuriti adalah kunci utama dalam memastikan industri ikan hiasan serta khazanah perairan negara kekal terpelihara daripada ancaman wabak, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



