KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan terus memastikan ekonomi Malaysia berkembang secara mampan dan manfaatnya dirasai oleh semua.
Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Pandan itu mengambil peluang untuk menjawab dan berkongsi perkembangan ekonomi negara berdasarkan data terbaru.
“Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 5.1 peratus pada 2024, jauh lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada 2023. Beberapa pencapaian lain yang menunjukkan ekonomi kita berada di landasan yang baik.
“Begitu juga dengan pelaburan terus meningkat sebanyak RM254.7 bilion diluluskan dari Januari hingga September 2024, berbanding RM230.2 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini petanda keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh.
“Bukan cuma itu, pengangguran turun ke paras terendah sejak 2015; kadar pengangguran kini hanya 3.1peratus (Disember 2024), membawa lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, Malaysia juga mencatat rekod perdagangan tertinggi dalam sejarah.
“Nilai dagangan Malaysia mencapai RM2.879 trilion, menunjukkan ekonomi kita semakin berdaya saing di peringkat global.
“Inflasi terkawal, harga lebih stabil. Inflasi turun kepada 1.7peratus (Disember 2024), jauh lebih rendah daripada 3.8peratus pada 2022.
“Selain itu, defisit belanjawan berkurang; defisit kini 4.1peratus pada 2024, lebih baik daripada sasaran 4.3peratus dalam Belanjawan.
“Ini membuktikan bahawa pengurusan fiskal kita semakin baik tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” jelas Rafizi.