PH minta MB Johor berterus terang isu PRN

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor meminta Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berterus-terang sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata penjelasan perlu diberikan, termasuk menyatakan secara terbuka perinciannya terutama tarikh PRN akan diadakan, mampu meredakan suhu politik negeri yang dilihat terlalu berlebihan ketika ini.

Katanya, ia juga bagi membolehkan semua pihak termasuk kerajaan negeri dapat memberi tumpuan dan fokus terhadap isu lebih utama, iaitu membantu rakyat terjejas COVID-19 dan banjir selain memulihkan ekonomi negeri.

“Maklum balas Menteri Besar mengenai sama ada PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seolah berdolak-dalik sedangkan desas-desus bertiup kencang ini bermula dari parti mereka juga (UMNO). Jadi ‘gentleman’, umumkan tarikhnya jika PRN mahu diadakan.

“Ia bagi membolehkan politiking keterlaluan ketika ini dapat dihentikan, sekali gus semua fokus dapat diberikan kepada rakyat yang terjejas dan pemulihan ekonomi negeri. Desas-desus mengenai PRN ini juga menyebabkan fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat ketika ini beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.

“Keadaan ini amat tidak produktif kerana mampu menyebabkan pelabur yang mahu melabur di negeri ini bimbang, sekali gus menjejaskan ekonomi negeri,”katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Hasni dilapor menafikan akan membuat pengumuman mengadakan PRN dalam tempoh terdekat dan menegaskan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS kepada kerajaan negeri goyah. Namun, beliau mengakui ‘tidak suka’ dengan majoriti satu kerusi DUN yang dimiliki gabungan yang membentuk kerajaan negeri ketika ini.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN dari blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang. Namun Ahad lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (2), PAS (1), Parti Amanah Negara (6) dan PKR (7). Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH dan ADUN Parit Yaani, berkata PH Johor juga sudah beberapa kali memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa gabungan itu tidak akan menganggu gugat kestabilan politik negeri ketika ini.

Katanya, PH Johor juga sudah membuat ketetapan akan berganding bahu bersama kerajaan negeri bagi membantu rakyat terjejas COVID-19 dan kini banjir, selain memulihkan ekonomi negeri yang lebih perlu diutamakan ketika ini.

“PH Johor tidak mahu PRN diadakan dalam keadaan rakyat dan ekonomi negeri belum stabil kerana ia akan menyebabkan kemarahan rakyat lebih besar dan beri persepsi buruk terhadap semua parti dan ahli politik. Fokus dan keutamaan kita seharusnya kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negeri selain COVID-19 sehinggalah cukup penggal nanti.

“Ketika itu semua pihak terutama rakyat sudah bersedia dan tidak marah jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat