Bantu pemuzik cari makan di PPV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mencapai sasaran membantu pemuzik beroleh pendapatan dengan membuat persembahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih atas usaha kerajaan selama empat bulan, Julai lalu, Persatuan Pemuzik Malaysia (PPM) memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan inisiatif sama berikutan ramai ahli belum dapat kembali ke lapangan mencari rezeki.

Naib Presiden PPM, Edwin Nathaniel, berkata pihaknya mengutuskan surat kepada MOTAC dan mengusulkan agar inisiatif seperti persembahan di PPV untuk ahli persatuan dapat dilaksanakan atas faktor kejayaan projek perintis itu.

“Maklum balas diterima daripada pemuzik yang membuat persembahan di PPV tahun lalu, sangat baik. Biarpun hanya kira-kira empat bulan, kira-kira 250 pemuzik gembira diberi peluang membuat persembahan.

“Mereka juga bersyukur diberi ruang menjana pendapatan sebab seperti ramai sedia tahu, kami tidak ada banyak lokasi untuk membuat persembahan dalam tempoh pandemik ini.

“Jadi, dengan bayaran diberi kerajaan dan ‘tip’ penonton, dapatlah pemuzik menggunakan wang itu untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada BH Online.

Ketika projek persembahan muzik di PPV dianjurkan dengan kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), ahli PPM mendapat bayaran RM250 bagi setiap sesi yang dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Inisiatif itu terbukti membantu pemuzik tempatan yang terjejas pendapatan selepas tidak dapat bekerja selama kira-kira 18 bulan akibat penularan pandemik COVID-19.

Nathaniel berkata, ahli PPM masih terbatas dalam mencari pendapatan melalui persembahan berikutan lokasi yang masih terhad, apatah lagi, kelab malam belum dibenarkan beroperasi.

“Saya berharap MOTAC akan memanggil kami lagi untuk membuat persembahan. Kami ada menghantar surat kepada pegawai di kementerian terbabit.

“Kita boleh lihat pemuzik masih bergelut apabila mereka belum diberi kebenaran membuat persembahan di kelab malam dan hotel.

“Kumpulan pemuzik besar juga tidak boleh membuat persembahan kerana SOP. Kasihan mereka tidak boleh cari makan,” katanya.

 

Biarpun hanya kira-kira empat bulan, kira-kira 250 pemuzik gembira diberi peluang membuat persembahan di PPV terpilih.
Biarpun hanya kira-kira empat bulan, kira-kira 250 pemuzik gembira diberi peluang membuat persembahan di PPV terpilih.

 

Nathaniel berkata, projek persembahan ‘live streaming’ disokong Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) selama enam bulan juga sudah berakhir, Disember lalu.

“Kami juga menghantar surat kepada CENDANA serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kami usulkan langkah bagaimana kedua-dua pihak dapat membantu pemuzik menjana pendapatan dalam keadaan yang mencabar ini, apatah lagi dengan kemunculan virus baharu, Omicron,” katanya.

Nathaniel berkata, projek persembahan atas talian anjuran CENDANA memanfaatkan lebih 400 pemuzik di seluruh negara.

Jun tahun lalu, CENDANA mengumumkan bekerjasama dengan PPM bagi melancarkan laman sesawang, Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL).

Di bawah kerjasama itu, CENDANA menyokong persembahan atas talian PPM yang dikenali sebagai Centerstage yang dianjurkan di Facebook (FB) Musicians for Musicians (MFM), iaitu platform di mana pemuzik dapat membuat persembahan saban hari.

Di bawah inisiatif itu, CENDANA menyediakan dana tambahan selama enam bulan, iaitu dari Julai sehingga Disember lalu.

Nathaniel berharap 2022 membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk pemuzik meneruskan karier.

“Kami bersyukur diberi banyak ruang dan peluang untuk membuat persembahan, tahun lalu. Jadi, saya berharap tahun ini lebih banyak tawaran diberi kerajaan, syarikat korporat dan sebagainya.

“Selain kerajaan dan agensi seperti CENDANA, badan seperti Yayasan Telekom Malaysia juga membantu kami selama tiga bulan.

“Selain itu, PPB Group Berhad juga menaja kami mengadakan persembahan di pusat beli-belah dan beberapa lokasi lain di seluruh negara,” katanya.

PPM ditubuhkan pada 4 Mei 2019 memiliki lebih 1,200 pemuzik berdaftar dari seluruh negara.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat