FINAS jalin kerjasama produksi antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagi mempromosikan karya baharu, Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) kembali menganjurkan Festival Filem Jepun (JFF) 2021 dengan menampilkan 13 filem pelbagai genre selepas setahun acara tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Memberi variasi kepada penggemar filem Jepun, JFF 2021 yang memasuki tahun ke-17, memilih beberapa pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak untuk tayangan filem sehingga 23 Januari ini.

Tahun lalu, JFF 2020 terpaksa dibatalkan selepas tiga kali tertangguh. JFF 2021 yang sepatutnya diadakan September lalu, hanya dapat dilaksanakan sekarang disebabkan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata JFF 2021 menampilkan filem Jepun berkualiti tinggi.

“JFF adalah satu platform terbaik memperkenalkan lebih banyak karya Jepun di Malaysia. Pada masa sama, boleh memperluaskan pasaran filem tempatan menerusi kerjasama dengan penggiat seni di Jepun.

“FINAS sedang mempergiatkan usaha menjalinkan kerjasama bagi projek produksi dengan pelbagai negara, termasuk Jepun.

“Setakat ini, FINAS sudah menandatangani perjanjian dengan Australia dan bakal bekerjasama dengan China, Kanada dan Korea,” katanya kepada BH Online.

Memilih filem Talking The Picture, sebagai pembuka tirai JFF 2021, Md Nasir hadir merasmikan pembukaan JFF 2021 di GSC Mid Valley Megamall, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Kaname Araki dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi Dan Teknikal FINAS, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin.

Selain Talking the Pictures, JFF 2021 menawarkan 12 lagi filem iaitu It’s a Summer Film!, Liar x Liar, Masked Ward, Mio’s Cookbook, One Summer Story, Poupelle of Chimney Town dan Step.

 

Dari kiri, Koh Mei Lee, Kaname Araki, Dr Noor Zari, Syirfan Indra dan Seiya Shimada pada majlis pembuka tirai JFF 2021.
Dari kiri, Koh Mei Lee, Kaname Araki, Dr Noor Zari, Syirfan Indra dan Seiya Shimada pada majlis pembuka tirai JFF 2021.

 

Tidak ketinggalan filem The Fable, The Night Beyond The Tricornered Window, Theatre : A Love Story dan We Make Antiques! Kyoto Rendezvous.

Turut ditayangkan filem Moonlight Shadow dibintangi Komatsu Nana dan diarahkan sutradara tempatan, iaitu Edmund Yeo.

Md Nasir berkata, untuk acara seterusnya, JFF 2022 bakal diadakan akhir tahun ini.

“Walaupun festival ini dilaksanakan pada 2022, pihak penganjur tetap mengekalkan namanya sebagai JFF 2021 kerana acara ini dirancang, tahun lalu.

“JFKL berminat melaksanakan JFF 2022 kerana wujud peluang menzahirkan kerjasama ‘menang-menang’. Ini berkait dengan pengisian JFF 2022 yang meliputi kelas penerbitan, sesi perbincangan, diskusi filem atau seumpamanya.

“Saya juga melihat Festival Filem Malaysia (FFM) wajar bekerjasama dengan JFF 2022,” katanya.

Menerusi edisi ke-17, JFF 2021 memilih pelbagai genre termasuklah komedi, drama, aksi, thriller dan animasi dengan empat filem daripadanya ditayangkan pada 2021.

Tiket berharga RM9.50 boleh dibeli dua hari sebelum hari tayangan di setiap lokasi di www.gsc.com.my, aplikasi mudah alih GSC atau e-kiosk di cawangan GSC.

Semua filem JFF 2021 akan menggunakan bahasa Jepun dengan sari kata bahasa Inggeris. Untuk maklumat lanjut, layari www.jfkl.org.my.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat