Hafiz tak dabik dada

- Advertisement -

POPULARITI yang dikecapi oleh Hafiz Suip menjadikan namanya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang nyanyian tanah air.

Selepas menjuarai pertandingan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) lalu, Hafiz terus mencipta nama menerusi lagu-lagu popular seperti Awan Nano serta duet bersama penyanyi wanita popular, antaranya terbaharu adalah Ernie Zakri untuk lagu Berakhirlah Pencarianku.

Dalam kehidupan peribadi pula, Hafiz, 31, yang berkahwin dengan Nureffy Jasreel Abdullah, kini bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.

Mengakhiri 2021 yang baru seminggu berlalu, Hafiz dengan kerjasama Alternate Records & Talents berjaya melahirkan single solo berjudul Takluk Cinta.

“Saya bersyukur kerana selepas melalui pelbagai rintangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun, single ini berjaya dihasilkan.

“Menariknya, lagu ini adalah runut bunyi (OST) untuk sebuah drama di slot Samarinda TV3 bertajuk Saat Kau Takluk Cinta Ini.

“Lagu istimewa ini dihasilkan secara gabungan oleh Ikhwan Fatanna bersama Iqie Hugh dan lirik juga ditulis oleh mereka berdua,” katanya.

Lagu Takluk Cinta itu difahamkan memang dicipta khas untuk Hafiz yang terkenal dengan lontaran suaranya yang lunak sekali gus menjadikan semua lagu nyanyiannya mudah diterima peminat muzik.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkolaborasi bersama Alternate Records & Talents dalam menyanyikan lagu ini.

“Sebenarnya, saya juga sudah lama mencari lagu yang bersesuaian dan apabila ditawarkan untuk menyanyi lagu OST ini, saya terus bersetuju kerana demo diberikan amat sesuai dengan genre muzik saya.

 

HAFIZ harap lagu Takluk Cinta diterima baik peminat.
HAFIZ harap lagu Takluk Cinta diterima baik peminat.

 

“Alhamdulillah, saya juga gembira apabila proses rakaman dibuat tidaklah begitu sukar seperti ketika di era PKP yang lalu,” katanya.

Biarpun popularitinya masih bertahan, penyanyi kelahiran Kuching Sarawak ini tetap merendah diri dengan saingan hebat daripada penyanyi-penyanyi baharu sekarang.

“Jujur saya katakan, sebenarnya tak mudah juga untuk bersaing dengan penyanyi baharu yang sedia ada lebih-lebih lagi ketika zaman sosial media seperti Instagram, Tik Tok dan lain-lain lagi.

“Namun saya yakin dengan bakat yang ada ini dan insya-Allah akan terus dapat bersaing dengan mereka. Saya benar-benar bersyukur dan harapnya agar lagu baharu kali ini dapat menghiburkan ramai orang dan diterima baik pendengar,” katanya.

Sehubungan itu, lirik video lagu Takluk Cinta kini boleh ditonton di Youtube Alternate Records & Talents, termasuk lagu ini juga boleh didengari di semua pelantar muzik digital.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat