Data Prestasi Ekonomi Positif Bantu Bursa Malaysia Melonjak Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi pada hari terakhir minggu ini, didorong oleh pemulihan yang kukuh dalam ekuiti global dan data ekonomi positif yang baru diumumkan untuk suku ketiga 2022, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.27 peratus atau 18.47 mata kepada 1,468.21 daripada 1,449.74 pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 17.45 mata kepada 1,459.19, bergerak antara 1,459.54 dan 1,468.21 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 667 berbanding 275 manakala 401 kaunter tidak berubah, 999 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.43 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 3.47 bilion unit bernilai RM1.45 bilion pada Khamis.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Di peringkat serantau, indeks utama meningkat dengan ketara berikutan prestasi positif di Wall Street semalaman, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.

“Data yang sederhana mendorong jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) dijangka mengurangkan kadar kempen mengetatkan monetarinya, dengan pelabur menolak kenyataan Pengerusi Fed, Jerome Powell pada awal bulan ini bahawa peralihan dasar tidak akan berlaku dan dasar China akan menyokong sektor hartanah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank merosot empat sen kepada RM8.60, Public Bank naik dua sen kepada RM4.45, Petronas Chemicals menambah sembilan sen kepada RM8.73, CIMB meningkat empat sen kepada RM5.52 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.00.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy dan XOX, masing-masing naik setengah sen kepada 13.5 sen dan 51.5 sen, Top Glove meningkat 7.5 sen kepada 96 sen, Careplus menambah 2.5 sen kepada 51.5 sen dan Supermax merosot satu sen kepada 94 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 145.89 mata kepada 10,416.90, Indeks FBMT 100 meningkat 143.06 mata kepada 10,151.59, FBM ACE menambah 109.52 mata kepada 5,093.31, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 205.69 mata kepada 10,529.58 dan FBM 70 naik 235.98 mata kepada 12,372.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 26.41 mata kepada 16,353.23, Indeks Penjagaan Kesihatan naik 26.31 mata kepada 1,730.45 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 4.63 mata kepada 179.40.

Indeks Perladangan naik 71.35 mata kepada 6,902.73 dan Indeks Tenaga menambah 13.76 mata kepada 724.32.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.09 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 2.08 bilion saham bernilai RM1.25 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 562.32 juta unit bernilai RM111.49 juta daripada 279.45 juta unit bernilai RM48.90 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 780.17 juta saham bernilai RM262.79 juta daripada 1.11 bilion saham bernilai RM144.66 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 432.72 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (471.18 juta); pembinaan (64.56 juta); teknologi (237.46 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.16 juta); hartanah (165.21 juta); perladangan (23.49 juta); REIT (8.72 juta), dana tertutup (34,100); tenaga (178.69 juta); penjagaan kesihatan (361.55 juta); telekomunikasi dan media (30.37 juta); pengangkutan dan logistik (41.31 juta) dan utiliti (11.38 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat