Hospital Cyberjaya Mula Operasi Hari Ini, Bakal Manfaatkan 282,000 Penduduk

- Advertisement -

CYBERJAYA – Hospital Cyberjaya yang mula beroperasi hari ini bakal memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di daerah Sepang dan sekitarnya.

Hospital pakar major dengan 14 disiplin kepakaran itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan dan kadar penggunaan katil di hospital berdekatan terutama di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

Antara disiplin kepakaran adalah Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Bius, Perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata dua lagi disiplin kepakaran akan ditambah di hospital berkenaan atas permintaan khusus Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Baginda Tuanku mahu supaya Hospital Cyberjaya kekal sebagai hospital awam dan ditambah kepakaran Penjagaan Geriatrik disebabkan masyarakat menua tidak lama lagi serta Perkhidmatan Psikiatri disebabkan keprihatinan baginda mengenai isu kesihatan mental,” katanya pada majlis pelancaran pengoperasian hospital itu hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Harjeet Singh; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Cyberjaya, Dr Shahabuddin Ibrahim.

Selain itu, Khairy berkata, KKM merancang untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di hospital itu dalam usaha menampung keperluan semasa dan meringankan tekanan di Hospital Serdang.

“Kita beri dua dalam satu kepada penduduk setempat iaitu Hospital Cyberjaya dan Klinik Kesihatan Cyberjaya yang ditukar daripada kuarters jururawat yang sudah beroperasi sejak 1 November lalu,” katanya.

Hospital Cyberjaya yang mula dibina pada 15 Ogos 2017 di tapak seluas 4.9 hektar adalah projek Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dengan peruntukan RM508.8 juta.

Ia mempunyai kapasiti 288 katil dan dilengkapi dua dewan bedah untuk kepakaran Oftamologi serta pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT).

Selain itu, Hospital Cyberjaya adalah hospital pertama di negara ini bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuk. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat