Pelakon teater kegilaan ramai

- Advertisement -

RATA-RATA peminat drama Korea kini semestinya tertumpu kepada pelakon, Kim Seon Ho yang membintangi Start-Up.

Ternyata, pelakon berusia 34 tahun ini berjaya memikat ramai dengan aura lakonannya.

Mana tidak, sebelum ini namanya tidak begitu dicanang meskipun sudah lama berkecimpung dalam dunia seni di negaranya.

Akhirnya, masa untuk namanya bersinar dan menjadi sebutan tiba jua.

Lupakan populariti yang dikecapnya sekarang, Kim Seon Ho terbukti pelakon versatil serta berpengalaman luas.

Aktif menjayakan teater sebelum ini, dia berada dalam liganya tersendiri dan tidak perlu dibandingkan dengan pelakon lain.

Hal itu dikongsinya sendiri menerusi sebuah program wawancara baru-baru ini.

Itupun selepas dia berasa selesa untuk berbicara mengenainya di mana awalnya lebih memilih cuba merendah diri.

“Dalam dunia teater, saya sebenarnya sudah berjaya meninggalkan impak tersendiri. Boleh dikatakan, populariti saya di cabang seni itu ibarat pelakon idola yang dipuja-puja dalam arus perdana.

“Bayangkan ratusan atau ribuan peminat sanggup datang dan menjerit untuk saya di setiap lokasi pementasan yang dijayakan. Sampai begitu tahapnya, sambutan peminat terhadap kerjaya teater saya,” katanya.

 

NAMA Kim Seon Ho terkenal sebelum menyinar dalam arus perdana.
NAMA Kim Seon Ho terkenal sebelum menyinar dalam arus perdana.

 

Berkongsi lanjut, Kim Seon Ho juga terharu dengan setiap sokongan yang diberikan kepadanya sebagai pelakon teater.

Menurutnya, kesanggupan mereka datang menyokong pementasannya terlalu menyentuh.

“Peminat sampai sanggup beratur panjang semata-mata mahu melihat pementasan yang membabitkan saya. Bahkan, ia sampai ke tahap kenderaan tidak dapat lalu disebabkan barisan mereka sampai menghalang jalan,” katanya.

Kim Seon Ho mendedahkan kisahnya itu selepas dipujuk beberapa rakan artis dalam program 2 Days & 1 Night.

Dalam sebuah segmen, mereka mengimbau kembali kerjaya lakonan masing-masing.

Apabila tiba gilirannya, dia berusaha untuk merendah diri namun diusik Moon Se Yoon.

Rakan pelakonnya itu, menyuruh dia berterus terang saja dan berkongsi kebenaran mengenai kerjayanya sebagai pelakon teater sebelum ini.

Begitu besarnya nama Kim Seon Ho dalam bidang teater sebelum dia mendapat perhatian sebagai pelakon dalam arus perdana sekarang.

Semakin dihujani tawaran, nampaknya dia kini mendaki untuk berada sebaris pelakon popular lain.

Menerusi lakonannya dalam drama Start-Up, dia bergandingan dengan nama besar termasuk Nam Joo-hyuk dan Bae Suzy.

Ditayangkan menerusi platform penstriman Netflix, drama itu semakin diikuti ramai.

Berkisarkan anak muda yang mengejar impian untuk memulakan perniagaan, drama itu cukup menarik disebabkan ideanya segar.

Bahkan, corak penceritaan berkisar membangkitkan inspirasi sebegitu, berjaya menjadi sohor kini di negara itu.

Sibuk mempromosikan Start-Up dan 2 Days & 1 Night buat masa ini, beberapa projek lainnya bakal ditayangkan tidak lama lagi. Ia termasuk pementasan teater berjudul Ice pada tahun depan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat