KUALA LUMPUR – Cuaca panas di Perlis sesuai dibangunkan projek tenaga solar besar-besaran, cadang Tun Dr Mahathir Mohamad
Selaku Penasihat State Government (SG4) beliau fokus kepada meningkat kegiatan ekonomi dan pelaburan ke keempat-empat buah negeri (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) melalui bidang kuasa sedia ada negeri serta sumber dan aset negeri.
“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini mempunyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi.
“Umpamanya cuaca di Perlis ini panas, sudah tentu sesuai diadakan projek tenaga solar besar-besaran.
“Saya juga dimaklum sudah ada industri perubatan dan farmaseutikal bertapak di Perlis. Begitu juga hasil tani seperti buah mangga harum manis yang mendapat permintaan tinggi bila tiba musimnya. Selain itu hutan, bukit dan gua turut menjadi produk pelancongan tempatan,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, di Perlis ada banyak tanah-tanah kosong terbiar.
“Dahulu pernah saya cadang di tepi-tepi jalan raya diusaha tanam pokok jati. Pokok jati nilainya cukup tinggi. Kedah dan Perlis amat sesuai tanam pokok jenis ini.
“Masalahnya ialah cara tanam pokok jati ini tidak kena. Sepatutnya ia ditanam tidak kurang dari 30-40 kaki antara satu sama lain, tetapi yang ada sekarang ini ditanam 5 kaki setiap pokok, inilah punca pokok tidak boleh tumbuh besar. Sepatutnya sekarang sudah masuk tempoh “harvest” dan boleh keluarkan hasil. Jadi cara tanam perlu diperbetul semula.
“Contoh tanaman pokok jati terbaik ialah di Langkawi kerana ia ditanam dengan jarak sesuai. Semua orang tahu kayu jati ini tinggi nilainya. Ranting pokok sahaja pun jika diukir jadi hulu tongkat ada harganya.
“Saya pernah bawa tongkat buatan Malaysia ke Amerika, dan tunjuk kepada salah seorang peruncit terbesar. Dia membelek ukiran pada tongkat itu dan berminat, kemudian dibuat “trial order” sebanyak 10,000 unit. Pada masa itu pula pembuat tongkat di Malaysia cuma mampu hasilkan tiga batang tongkat setahun kerana guna tangan, tak mampu penuhi permintaan. Tetapi sekarang ini sudah ada teknologi mesin dan boleh buat “mass production.”
“Kita cuma perlu belajar program dan cara kendali mesin mengukir tadi, tak perlu lagi guna tangan dan boleh tingkat jumlah keluaran lebih dari sebatang dalam satu hari. Jika kita tumpu dan benar-benar bersungguh dalam industri kayu jati inipun boleh beri pulangan kepada negeri,” ujarnya.
Dr Mahathir menambah, apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada.
“Dalam pertemuan bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kediaman Rasmi MB Perlis petang semalam, saya sebut bahawa semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, tumpuan ketika itu semestinya kepada negara secara keseluruhannya.
“Masa terhad untuk lihat setiap satu negeri. Pembangunan di tiap negeri dipertangungjawab kepada negeri dan jentera pentadbiran negeri. Sekarang selepas tidak lagi jadi Perdana Menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4.
“Insya-Allah kerjasama antara SG4 ini dapat meningkat pelaburan dan akhirnya beri manfaat kepada pembangunan dan hasilnya nanti dinikmati rakyat negeri Perlis,” katanya.