Ronnie Liu Tak Jadi Keluar DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu Tian Khiew memutuskan untuk kekal berada di dalam parti itu dan tidak meletak jawatan.

Menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini, katanya, beliau bertanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tidak akan berhenti sekali gus mengabaikan penyokong di kawasannya.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, ini terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu yang berisiko besar berlaku banjir.

“Saya tidak mahu rakyat di Sungai Pelek kehilangan wakil rakyat tanpa ada pengganti sehinggalah pilihan raya (negeri) seterusnya. Saya khuatir yang setiausaha agung parti terpaksa menunggu sedikit lama untuk saya menyerahkan surat letak jawatan,” katanya hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas tiga hari media tempatan melaporkan beliau dijangka mengumumkan keluar DAP.

Ronnie Liu sering dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan DAP atas pelbagai perkara dan telah diberikan beberapa surat tunjuk sebab pada 2019.

Perselisihan terkini antara Ronnie Liu dan partinya menyaksikan beliau mempersoal keputusan pimpinan tertinggi untuk meminda perlembagaan parti mengenai anti lompat parti yang disifatkan sebagai ‘tidak demokratik lagi’.

Sebelum ini, DAP meminda dan meluluskan perlembagaan parti untuk memasukkan peruntukan melucutkan keahlian mana-mana ahli Parlimen atau ADUN yang tidak mengikut keputusan parti.

Pindaan pertama, menyaksikan mana-mana ahli DAP yang merupakan ahli Parlimen, ADUN atau senator yang dilantik berhenti menjadi ahli parti sekiranya gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh CEC parti.

Pindaan kedua akan menambah peruntukan menyatakan CEC boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana wakil rakyatnya di Dewan Rakyat, DUN atau senator yang dilantik.

Langkah itu diputuskan berhubung peruntukan larangan ahli Parlimen melompat parti yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu. Ia telah berkuatkuasa sejak 5 Oktober lalu.

Ekoran mendapat bantahan hebat berhubung pindaan perlembagaan parti, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Tian Khiew harus menghormati keputusan parti dan tidak mempersoal secara terbuka mengenainya.

Mengulas lanjut, Tian Khiew berkata, beliau kekal sebagai rakan kepada DAP selain parti itu adalah parti yang baik dengan sokongan akar umbi yang kuat.

“Saya masih memegang kepada nilai-nilai pluralistik DAP dan Pakatan Harapan (PH) dan akan terus berjuang untuk golongan miskin, terpinggir dan kekal sebagai suara mereka,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat