Tarikh Bubar DUN Akan Dipersembahkan Kepada Raja Perlis – Azlan

- Advertisement -

PADANG BESAR – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man akan mempersembahkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam masa terdekat.

“Saya akan mempersembahkan tarikh yang bersesuaian supaya Pilihan Raya Negeri dapat dilakukan bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” kata Azlan kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen hak milik tanah ladang getah dan hak milik tanah kepada 447 peneroka Felda Chuping di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14 itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Azlan berkata persidangan DUN Perlis yang dijadualkan pada Khamis ini akan diteruskan kerana ia penting untuk membahaskan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis iaitu Enakmen Anti-Lompat Parti agar bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Sidang khas DUN itu perlu dilakukan bagi mengelakkan isu percanggahan perundangan,” katanya yang berharap pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri itu akan terpakai pada wakil rakyat yang dipilih pada PRU15 kelak.

Sementara itu, Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata senarai calon UMNO Perlis telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk pertimbangan.

“Kita di peringkat UMNO negeri telah mengemukakan lima nama pada setiap kerusi berkenaan pada peringkat Parlimen dan juga DUN,” katanya dan menambah senarai nama itu terdapat muka lama, muka baharu dan anak muda.

Ditanya adakah nama Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin tersenarai, Azlan berkata: “Semua nama wakil rakyat yang ada ialah calon-calon, bersama-sama empat atau lima lagi calon”. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat