KUALA LUMPUR – Meniti ulang tahun penubuhan negara Malaysia yang ke-60, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin inilah masanya kita mengangkat maruah dan martabat negara kembali ke landasan asal.
Perdana Menteri juga mahu memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan aman hidup negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan.
“Pagi tadi saya telah membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
“Kerajaan Perpaduan kini sedang mempersiap negara bagi menempuhi fasa kedua RMK12 yang diberi tema “Mampan, Berpendapatan Tinggi, Sejahtera” dengan 3 tumpuan utama, yakni memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
“Saya gariskan sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama yang diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan,” katanya di Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi Madani.
“Ayuh kita merangkul muafakat menjadi satu ketumbukan ampuh untuk sama-sama memajukan tanah air tercinta ini,” katanya.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apa yang penting, segala usaha perlu ditingkatkan keberkesanan pelaksanaannya dan memastikan bukan sahaja rakyat mengecapi “physical happiness” tetapi juga “spiritual happiness” agar nikmat pembangunan yang diberikan dapat benar-benar dirasai rakyat.
Zahid berkata demikian selepas hadir dan meneliti pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang diucapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’ di Dewan Rakyat.
“Dalam pembentangan ini, tiga tumpuan utama rancangan yang disebut ialah – Memperkukuh Kemampanan, Membangunkan Masyarakat Sejahtera, dan Menuju Negara Berpendapatan Tinggi – dengan 17 anjakan dan 71 inisiatif utama berdasarkan prinsip Ekonomi Madani.
“Keyakinan saya, Kerajaan komited membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, dengan tambahan siling RM15 bilion untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat,” katanya.
Menurut Zahid sebagai Menteri KKDW, beliau menyambut baik usaha memperkasakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.
“Malah, kerajaan sentiasa berusaha merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada tahun 2025.
“Usaha ini diteruskan dengan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan, memanfaatkan potensi ekonomi desa dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan untuk memastikan kesejahteraan penduduk di desa dan pedalaman akan dipertingkatkan.
“Kesejahteraan masyarakat desa, termasuk peneroka dan pekebun kecil juga akan terus dibela melalui kajian semula dan pengukuhan fungsi serta peranan agensi berkaitan, terutama FELDA, FELCRA, RISDA dan MARA.
“Sebagai Pengerusi TVET Malaysia juga, saya melihat bahawa saranan untuk memperkasa TVET dengan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan bersama GLC dan syarikat swasta dalam transformasi program TVET adalah satu usaha yang terbaik untuk menjamin masa hadapan tenaga mahir negara. InsyaAllah dengan usaha memperkasa TVET ini, ia akan mengubah persepsi masyarakat terhadap laluan kerjaya melalui bidang ini,” ujarnya.
Tambah Zahid, perihal pengurusan bencana pula turut menekankan usaha Kerajaan memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh dengan penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara pada akhir tahun ini.
“Terdapat banyak perkara yang telah diketengahkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan tadi, saya percaya bahawa Kerajaan Perpaduan sekali lagi telah membuktikan kesungguhan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Malaysia Madani yang diperkenalkan,” katanya.