Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Program MyLesen B2 bagi fasa satu yang bermula Februari lepas telah memberi manfaat kepada lebih 15,000 rakyat Malaysia yang berkelayakan.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ), Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) , melalui JPJ terus komited dan berusaha menjayakan keperhatinan kerajaan ke arah meringankan beban golongan sasar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
“Bayaran ujian memandu bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (Motosikal) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM5.2 juta, ”katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, seramai 1,200 orang penduduk Negeri Kedah yang terdiri daripada pelajar sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta belia kategori B40 telah menerima manfaat daripada Program MyLesen B2 bagi tahun 2025.
Katanya, agensi yang terlibat dalam program ini, ialah pelajar Sekolah Menengah sebanyak 60 % (peratus).
Selain itu, sebanyak 20 % pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Teknologi MARA (UITM); Giat MARA, Kolej Komuniti; Akademi Binaan Malaysia (ABM); Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran MARA (IKM); dan golongan belia pula sebanyak 20%.
Ujarnya, semua penerima dan orang ramai diseru untuk terus mematuhi undang-undang jalan raya termasuk pemilikan LLM yang sah.
Sebarang kesalahan berkaitan bidang kuasa JPJ boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan akta-akta lain yang berkaitan,”ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Aedy Fadly telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu My Lesen B2 Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Kedah, dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam; Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi; Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan; dan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail.-SUARA.TV



