KUALA LUMPUR, – Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (INTELEK) menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau membentuk naratif sendiri yang boleh mengganggu siasatan berhubung kematian adik Zara Qairina.
Penolong Setiausaha II INTELEK, Nurin Qasdina Hairolnizam, berkata semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci bagi merungkai segala persoalan yang berbangkit.
Beliau menegaskan bahawa siasatan ini tidak wajar dipertikaikan kerana dua pemimpin tertinggi negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Kita semua mahu keadilan buat Allahyarham, dan itu hanya boleh berlaku jika proses siasatan diberi laluan yang adil dan bebas daripada tekanan. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi proses keadilan dengan penuh kematangan dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam menegakkan keadilan untuk Zara Qairina, sambil mengangkat prinsip “Keadilan Tanpa Kompromi” sebagai asas kepada siasatan semula kes itu.
Dalam pada itu, Saifuddin memberi jaminan pihak polis sedang memperkemas siasatan dengan meneliti semua bukti berkaitan, serta menegaskan tiada pihak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang.
Nurin Qasdina turut menyeru semua pihak menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham dan memberi sokongan kepada proses siasatan agar berjalan lancar.
“Semoga roh adik Zara Qairina dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.



