SIPITANG: Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang pada jam 1.15 pagi tadi.
Proses pengebumian semula mengambil masa kira-kira 30 minit selepas bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth I (HQE), Kota Kinabalu semalam.
Bedah siasat bermula jam 11 pagi dan selesai pada 7.30 malam, sebelum jenazah dibawa pulang ke Sipitang pada jam 9.20 malam, tiba sekitar 12.41 tengah malam.
Walaupun hujan, ahli keluarga, kenalan dan penduduk tetap hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Sabtu lalu, kubur Zara digali semula bagi tujuan siasatan. Sebelum ini, polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kejadian pelajar itu yang didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai lalu.



