KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan pengundi-pengundi untuk tidak keluar mengundi sekiranya enggan memberi undi kepada calon-calon daripada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH) pada
Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu, 12 Ogos ini.
Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan jika pengundi tidak berhasrat memilih calon-calon Kerajaan Perpaduan adalah lebih baik tidak keluar mengundi.
“Ada orang yang tidak mahu mengundi kita maka saya ingin membuat pengumuman kepada mereka yang tidak mahu mengundi BN kepada mereka yang tidak mahu mengundi PH, duduk aje di rumah diam-diam dari pagi sampai petang. Itulah pengumuman saya.
“Ini orang muda beritahu mereka kalau mereka tidak mahu mengundi calon kita maka tak payah mengundi pun tak pa, tak payah keluar mengundi mengabiskan beras aje, duduk aje di rumah atau pergi kedai minum-minum cukup, tak payah mengundi,” katanya di Sungai Besar, dalam video yang tular.
Ahmad juga memberitahu pantun beliau juga telah berubah “dulu pantun saya berbunyi begini kalau tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, jika tak mahu kena itu jangan sokong parti itu”.
“Tapi itu dulu, itu cerita lama. Cerita baru, “jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan kami sekarang sudah kamceng, demi generasi masa depan”, ujarnya ahli MKT Umno itu.